Bekas juara Piala Malaysia disebut-sebut buat 'comeback', tak mustahil sejarah mungkin berulang


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

Brunei DPMM kini beraksi di saingan domestik Singapura. — Facebook/BruneiDPMM

LIGA Malaysia (Liga M) pada musim depan dikhabarkan bakal dimeriahkan dengan pasukan jemputan, Brunei DPMM apabila dilaporkan skuad berkenaan akan menghiasi kembali saingan domestik.

Menurut sumber Majoriti, Brunei DPMM yang pernah beraksi di Liga Super dilaporkan berminat untuk kembali semula dengan mereka bersedia meninggalkan Liga Perdana Singapura (SPL).

Pasukan dari Brunei Darussalam berkenaan dilaporkan mempunyai peluang besar untuk melakukan kemunculan semula di Liga Super selepas kali terakhir beraksi pada musim 2008.

BACA LAGI: Bekas juara Piala Malaysia buat 'comeback' cabar kelab Liga Super?

BACA LAGI: Rugi jika jemput pasukan Singapura, Brunei kembali bertanding Liga Super

Meskipun tiada kenyataan rasmi dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Brunei DPMM namun ia sudah menerima pelbagai reaksi dari penyokong, kebanyakan peminat bola sepak tanah air menyambutnya sebagai keputusan positif.

Mengulas lanjut mengenai khabar angin berkenaan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd juga melihatnya sebagai perkara yang memberi kebaikan dari sudut pendedahan kepada pemain muda dan nilai komersial.

Zulakbal berkata, pemain muda Liga M akan meraih pengalaman berbeza beraksi menentang pemain-pemain tempatan Brunei dan juga mendapat peluang bermain dengan suasana baharu di negara lain.

Selain itu, penyertaan Brunei DPMM itu akan melonjakkan nilai komersial Liga Malaysia susulan lebih banyak penyokong dari negara berkenaan akan mengikuti perkembangan dan perlawanan saingan domestik.

"Bila pasukan Brunei main dalam liga kita, sudah tentu sepanjang masa kita akan memberi liputan kepada pengikut dari Brunei. Itu akan menambahkan rating untuk liga kita.

"Apabila kita sudah menerima banyak liputan di peringkat antarabangsa, kemungkinan banyak peluang untuk Liga M mendapat lebih banyak penaja. Dari situ lebih luas pendedahan yang kita akan dapat," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Zulakbal tidak menafikan kebimbangannya sekiranya Brunei DPMM menyertai Liga M. Beliau tanpa berselindung khuatir jika sejarah pasukan luar memenangi saingan domestik akan berulang.

Untuk rekod, sejarah Liga M menyaksikan skuad Brunei sebelum ini pernah menjulang Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

2424

Prof Madya Dr Zulakbal Abd.

"Saya ingat memang itu (menang) antara punca kenapa Brunei dikeluarkan dari liga kita. Pasukan luar yang pernah berakdi di saingan kita menguasai Liga M. Sebab itu mereka dikeluarkan. Tapi ia adalah perkara biasa dalam bola sepak.

"Kelab-kelab yang ada di Liga M sepatutnya meningkatkan pasukan masing-masing, jangan beri peluang kepada pasukan luar yang kita jemput menguasai kita. Jangan biar sejarah sebelum ini berulang lagi.

"Kita perlu jadi bangsa yang boleh belajar dari kesilapan lalu kita. Maksudnya, jangan biar kita ini dijajah pula lagi oleh negara lain," jelasnya.

isi piala m

Brunei menerusi kelabnya iaitu Brunei DPMM akan kembali ke Liga Super?

Sebagai rekod, Brunei DPMM pernah beraksi di Liga Malaysia selama tiga tahun daripada 2005 hingga 2008 bermula dengan menyertai Liga Perdana pada musim pertama sebelum ke Liga Super.

Pada musim 2005/2006, Brunei DPMM berjaya meraih tempat ketiga di Liga Super dan itu adalah pencapaian terbaik mereka dalam Liga Malaysia.

Rekod Brunei DPMM di Singapura boleh dikatakan baik apabila mereka memenangi liga sebanyak dua kali, tiga kali menjuarai Piala Liga Singapura dan muncul pemenang Piala Singapura pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram