Cklamovski pasti mahu warisi legasi 'coach' Australia bersama Johor, Selangor, Perak


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

Cklamovski menjadi pilihan FAM yang pasti tertarik akan kebolehan serta pengalamannya dalam dunia kejurulatihan. — Agensi

SELEPAS kira-kira enam bulan memberikan kepercayaan kepada Pau Marti Vicente sebagai pengendali sementara Harimau Malaya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya melantik Peter Cklamovski sebagai 'bos' baharu skuad negara.

Jurulatih kelahiran Australia itu menjadi pilihan badan induk bola sepak negara tersebut kerana berpengalaman di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Australia sebagai pembantu kepada Ange Postecoglu.

Tidak cukup dengan itu, pengendali berusia 46 berkenaan mempunyai rekod baik bersama beberapa kelab, seperti FC Tokyo yang merupakan pasukan terakhir sebelum dia berkhidmat bersama Harimau Malaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bersama Peter Cklamovski, Harimau Malaya bakal terap taktikal bertahan?

BACA LAGI: Tinggalkan jawatan di FC Tokyo, Peter Cklamovski semakin hampir sertai Harimau Malaya?

Namun, latar belakangnya tersebut masih belum memadai untuk mencuri hati penyokong yang masih sangsi akan kebolehannya mengulangi sentuhan ketua jurulatih terdahulu, Kim Pan-gon.

Meskipun tidak pernah membawa sebarang kejuaraan, revolusi dibawa terhadap gaya permainan selain kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia 2024 wajar meletakkannya sebagai antara pengendali terbaik Harimau Malaya.

Bagaimanapun, penyokong skuad kebangsaan tidak perlu berasa terlalu gusar kerana melihat kepada sejarah terdahulu, jurulatih dari Australia memilki mutu di samping pernah meninggalkan legasi dalam arena bola sepak tempatan.

Berdasarkan pemerhatian terhadap pengalaman terdahulu, berikut merupakan tiga pengendali dari negara Ocenia itu yang pernah membawa kelab-kelab tanah air dengan pelbagai kejayaan berjaya ditempa.

1. Mehmed Durakovic (Perak, Selangor)

Sebut sahaja jurulatih kelahiran Australia, nama Mehmed Durakovic sudah tentu terlintas dalam minda peminat tegar bola sepak negara kerana masing-masing akan mengakui sentuhannya yang bermakna satu ketika dahulu.

Malah, meskipun sudah bertahun-tahun meninggalkan tanah air, dia masih dikaitkan dengan skuad kebangsaan sebelum Cklamovski dilantik memandangkan mereka mempunyai latar belakang yang hampir serupa.

65320972_714501742317592_435459969567948800_n

Durakovic meninggalkan impak besar buat skuad TBG.

Kesukaran untuk melupakan legasinya dalam landskap bola sepak tempatan boleh dikatakan berpunca daripada sentuhannya yang berkualiti sepanjang tujuh tahun dalam Liga Super.

Ini termasuk kejayaan menjulang dua gelaran Piala Malaysia, dengan satu daripadanya direkodkan ketika bersama Selangor pada 2015 sebelum mengulanginya tiga tahun kemudian bersama Perak.

Pencapaian tersebut sudah melepasi tahap untuk mengatakan Durakovic wajar diangkat sebagai jurulatih terbaik dari Australia dalam arena bola sepak tempatan dengan status sedemikian sukar diulangi.

2. Mendiang Ken Worden (Selangor)

Sepanjang era 1990-an, Selangor sememangnya tertarik dengan sentuhan pengendali dari Eropah kerana ia jelas membuahkan hasil sehingga membolehkan mereka mendominasi arena bola sepak tempatan.

Antara jurulatih berpengaruh sepanjang tempoh berkenaan ialah mendiang Ken Worden yang dilantik kelab Lembah Klang itu sebanyak empat kali, bermula 1991 yang mencetuskan hubungan akrab antaranya dengan penyokong.

WhatsApp Image 2024-12-18 at 4.27.02 PM

Mendiang Ken Worden masih diingati dalam kalangan penyokong Selangor.

Ini termasuk satu gelaran Piala FA, tiga Piala Malaysia serta dua Piala Sumbangsih selain menjadikan skuad Gergasi Merah menampilkan persembahan lebih baik setiap hari perlawanan.

Tidak sekadar itu, legasi Selangor itu turut dirasakan beberapa pasukan lain, termasuk Harimau Malaya dan Sabah yang pernah berasakan sentuhannya sepanjang era berkenaan.

Pada September 2021, Worden akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Australia dengan setiap bakti dan kenangan dicurahkan dalam arena bola sepak tanah air sukar dilupakan sehingga hari ini.

3. Michael Urukalo (Johor)

Sebelum Johor menjadi gergasi bola sepak negara, mereka dahulunya kurang diberi perhatian sehinggakan setiap kejayaan ditempa dirasakan amat manis buat peminat dari Selatan tanah air.

Bagaimanapun, pada 1991, pasukan terbabit pernah mencipta sejarah kerana menjadi kelab pertama menjulang Liga Malaysia dan Piala Malaysia semusim dengan pengendali kelahiran Australia, Michael Urukalo menjadi nadi utama mereka.

454517034_2968809163288667_1427053833740024001_n

Urukalo (kanan) membawa kejayaan bersejarah buat Johor FA.

Johor ketika itu dibarisi beberapa pemain tempatan ternama seperti Sazali Nasir, Nasaruddin Atan dan Roslan Hamid sambil diperkuatkan gandingan tiga import berkualiti iaiti Ervin Boban, Abbas Saad serta Alistair Edwards.

Namun, pujian harus diberikan kepada Urukalo yang menerapkan taktikal terbaik dengan legasinya itu akan berkekalan meskipun hari ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya sudah mencipta revolusi terhadap bola sepak tanah air.

Kini, tidak dapat dipastikan sama ada jurulatih berkenaan masih aktif dalam sukan tersebut atau sudah menghembuskan nafas terakhir kerana tiada maklumat lanjut ditemui mengenainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram