TANDA tanya mengenai pengendali baharu Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski.
Dia yang sebelum ini bersama kelab Jepun, FC Tokyo memiliki pengalaman luas di Asia kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih dalam skuad kebangsaan Australia.
Di peringkat kelab pula, pengendali berusia 46 tahun berkenaan pernah membimbing beberapa pasukan sepanjang empat tahun yang dihabiskan di negara Matahari Terbit itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Bersama Peter Cklamovski, Harimau Malaya bakal terap taktikal bertahan?
BACA LAGI: Tinggalkan jawatan di FC Tokyo, Peter Cklamovski semakin hampir sertai Harimau Malaya?
Pengalaman kejurulatihan Cklamovski diharapkan dapat membawa kemajuan buat Harimau Malaya. — Agensi
Pendedahan dalam dunia kejurulatihan itu pasti mengasah bakatnya dengan harapan menggunung diletakkan di bahu Cklamovski untuk meletakkan Harimau Malaya kembali ke landasan.
Cita-cita berkenaan turut dipasang bekas pemain skuad kebangsaan, termasuk Datuk Dollah Salleh yang memberi pesanan terhadap jurulatih itu pada hari pertama pelantikannya.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, bekas penyerang negara itu berharap pemain yang mewakili skuad kebangsaan pada Piala AFF 2024 tidak disisihkan.
"Pemain-pemain ini (Fergus Tierney, Jimmy Raymond, Fazrul Amir Zaman) jangan ditinggalkan kerana saya lihat, memang ada beberapa daripada mereka yang layak. Jangan kita terlepas pandang memandangkan terdapat beberapa yang harus diketengahkan," katanya.
Bagi pertandingan peringkat Asia Tenggara tersebut, Harimau Malaya sedikit tempang berikutan keputusan hampir kesemua kelab Liga Super yang enggan melepaskan tonggak utama mereka.
Situasi berkenaan mendesak pengendali sementara negara, Pau Marti Vicente menurunkan pemain baharu seperti Jimmy Raymond, Najmuddin Akmal serta G Pavithran.
Meskipun bukanlah nama-nama besar dalam negara, kesungguhan mereka untuk beraksi wajar diberikan pujian meskipun skuad kebangsaan berdepan kesukaran untuk melepasi peringkat seterusnya.
Ini sekali gus membuktikan ada di antara pemain wajar dijadikan bintang regular seperti mana dipesan Dollah Salleh dalam misi menghidupkan peluang layak ke Piala Asia buat edisi kedua berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram