[VIDEO] JDT langsung tidak diberi satu kad pun — Fandi Ahmad


  • Podium
  • Rabu, 18 Dis 2024

Fandi mempertikaikan kualiti pengadilan yang disifatkan berat sebelah ketika skuad Tok Gajah berdepan JDT dalam aksi Liga Super pada Selasa. — Facebook/Sripahangfc

KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika perlawanan Liga Super 2024 antara skuad Tok Gajah dan juara Piala FA 2024, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu berang dan menganggap beberapa situasi pengadil yang bertugas, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli perlu dipersoalkan selain ia merupakan permainan yang tidak adil untuk anak-anak buahnya.

Fandi sangat kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan yang didakwa tidak berlaku adil terhadap pemainnya apabila dilayangkan tiga kad kuning, manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama setelah penyerang importnya, Kpah Sherman yang dikasari berulang kali.

BACA LAGI: Bukan tugas mudah, anak kelahiran Sarawak sedia bantu Harimau Malaya benam Singapura

BACA LAGI: Kedah-Penang sedang bergelut, Raja Utara milik siapa?

"Terus terang saya cakap, saya paling tidak menyukai prestasi pengadil dan sekarang permainan bola sepak seperti ragbi.

"Ketika separuh masa pertama, Kpah Sherman kerap dikasari tetapi tiada sebarang sepakan percuma diberi tapi kami yang dilayangkan tiga kad kuning.

"Macam mana?, JDT langsung tidak diberi satu kad pun. Itu yang saya tidak puas hati. Tidak adil untuk kami," katanya selepas perlawanan.

Pengendali berusia 62 tahun itu meluahkan hasrat mengenai tindakan pengadil yang menghadiahkan penalti kepada skuad tuan rumah selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan pada minit ke-97.

Lebih memburukkan keadaan, pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk bantuan video pengadilan (VAR) setelah permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.

"Bagaimana penalti diberikan apabila Arif Aiman sedang menggelecek bola kemudiannya terlepas, kami membuat 'tackle' bersih dan dia tercampak, tetapi permainan sudah diteruskan selama tiga minit, namun dipanggil semula?.

"Kurang baik untuk bola sepak. Menang kalah adat perlawanan. Saya tidak boleh terima," tambahnya.

Dalam aksi yang berlangsung di SSI itu, JDT meraih kemenangan 3-1 menerusi gol sendiri Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin dan dua jaringan Bergosn da Silva. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram