Rugi jika jemput pasukan Singapura, Brunei kembali bertanding Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Lions XII dan Kedah Darul Aman pernah bersaing hebat di Liga Super satu masa dulu. — Facebook/Lions XII

SATU masa dahulu, Liga Malaysia pernah membuka penyertaannya kepada pasukan-pasukan sekitar Asia Tenggara untuk menyertainya.

Sebelum ini, liga kita pernah disertai oleh pasukan kebangsaan Singapura dan Brunei. Namun selepas mereka tidak lagi sertai, pasukan seperti Lions XII dan Brunei DPMM masuk mewakili dua negara tersebut.

Melihat kepada situasi kewangan meruncing dalam kalangan pasukan Liga Super, terdapat cadangan untuk Malaysian Football League (MFL) menjemput semula kelab-kelab sedemikian untuk bertanding di liga kita. Tapi adakah ia berbaloi?

Majoriti merungkai kemungkinan adakah dengan kembalinya pasukan jemputan daripada Singapura dan Brunei akan menguntungkan bola sepak kita atau tidak:

Keuntungan sebelah pihak

Cadangan untuk menjemput semula pasukan seperti Lions XII ke Liga Malaysia adalah tindakan merugikan kerana ia hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Masihkah anda ingat ketika Lions XII di Liga Malaysia? Waktu itu, mereka berjaya melarikan trofi Liga Super menyeberangi tambak pada 2013 dan Piala FA dua tahun kemudian. Ketika itu, bola sepak Malaysia seakan mengalami 'kiamat' dengan apa yang terjadi.

12314596_890816084359587_1514589187170776032_o

Faris Ramli antara produk keluaran Lions XII yang berjaya. — Facebook/Lions XII

Kerugian terbesar adalah ketika Piala AFF 2012. Harimau Malaya yang hadir sebagai juara bertahan gagal mempertahankan piala, sebaliknya Singapura memenangi kejohanan.

Waktu itu, mereka gunakan majoriti pemain Lions XII dalam skuad Singapura. Oleh kerana sudah terdedah dengan minit permainan mencukupi dan lawan berkualiti di Liga Super, mereka tiada masalah untuk bergelar juara Asia Tenggara ketika itu.

Langgar peraturan AFC

Selain daripada menguntungkan sebelah pihak, Liga Malaysia turut akan kerugian dari segi peluang untuk beraksi di peringkat Asia.

Hal ini kerana, syarat untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah sesebuah liga tidak boleh mempunyai pasukan jemputan daripada negara lain.

400403074_906046830891294_4751919912202074162_n

Johor Darul Takzim menyertai ACL selepas Lions XII meninggalkan Liga Malaysia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Oleh sebab itu, perjanjian antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan FA Singapura untuk membenarkan Lions XII beraksi di Liga Malaysia tidak lagi disambung selepas 2015.

Disebabkan peraturan itu, kedua-dua negara mula menguatkan liga masing-masing hingga akhirnya semua mampu menghantar wakil ke ACL. Jadi, tidak ada keperluan untuk kembali mengubah peraturan itu dan menjemput Brunei dan Singapura.

Tetap ada untungnya

Namun begitu, jika pasukan-pasukan dari Singapura dan Brunei ini dijemput, ia tetap membawa pulangan yang baik kepada liga.

Hal ini kerana, liga akan menjadi lebih luas dari segi jumlah pasukan bertanding selain publisiti bertambah luas dengan tambahan dua negara terlibat secara langsung dalam Liga Super.

12110006_866816173426245_1106410708097526846_o

Sang Kenari bertemu Lions XII di Stadium Darul Aman, Alor Setar. — Facebook/Lions XII

Duit yang akan masuk juga akan bertambah kerana lebih banyak penaja berminat untuk memeriahkan lagi saingan Liga Super.

Pastinya, kemeriahan akan bertambah kerana penyokong yang pernah merasai era penglibatan Singapura dan Brunei dalam liga tempatan akan kembali turun ke stadium untuk melihat pasukan-pasukan ini beraksi menentang jaguh-jaguh negara kita.

Walaupun begitu, seandainya MFL terbuka kepada cadangan itu, mereka perlu memperhalus setiap kemungkinan. Apa yang penting, biarlah tindakan itu diambil demi kebaikan bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram