SELEPAS rentetan keputusan kurang memberangsangkan dialami, Selangor FC akhirnya boleh tersenyum selepas mereka mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Prestasi meyakinkan itu dimulakan dengan kejayaan menundukkan Cebu FC dalam perlawanan akhir Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two sebelum diteruskan dengan persembahan meyakinkan ketika bertemu Negeri Sembilan FC untuk aksi Liga Super.
Kemudian, anak-anak buah Katsuhito Kinoshi meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Cabaran MFL pada Khamis lalu.
BACA LAGI: Tambah marsyal antara 3 cara elak aksi panas El Clasico Malaya berulang
BACA LAGI: Mudah ungguli 'El Clasico Malaya', fans Selangor enggan terbuai mimpi indah
Sentuhan Kinoshi bersama skuad Gergasi Merah mula membuahkan hasil. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, sekiranya ditanya penyokong Merah Kuning, mereka pasti masih belum berpuas hati dengan ketiga-tiga keputusan itu kerana setiap lawan yang dihadapi bukanlah cabaran sebenar mereka.
Ini kerana cabaran terbesar menanti skuad Gergasi Merah dalam masa terdekat adalah apabila mereka akan bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk perlawanan ke-16 Liga Super buat kedua-dua pasukan.
Meskipun skuad The Bos Gaurus (TBG) masih ketinggalan dari segi kualiti di atas padang, pertembungan itu boleh dikatakan sesuatu yang penting kerana ia terkenal dengan julukan 'El Clasico Malaya'.
Namun, perbezaan dari segi mutu pasukan bukanlah bermakna Selangor FC boleh mengambil mudah cabaran seteru bersejarah mereka tersebut kerana terdapat tiga pemain Perak FC yang wajar diberikan perhatian serius.
1. Wan Zack Haikal Wan Noor
Sejak bersama skuad TBG pada 2022, Wan Zack Haikal Wan Noor boleh dianggap nadi utama pasukan meskipun pernah mengalami dua episod kecederaan serius sepanjang kariernya.
Malah, usianya yang sudah mencecah 33 tahun bukanlah penghalang baginya untuk memberikan yang terbaik buat kelab Utara tanah air itu dengan pelbagai peranan boleh dipikulnya.
Usia bukanlah penghalang buat Wan Zack Haikal. — Facebook/Perak FC
Contoh terbaik dapat disaksikan adalah dalam perlawanan baru-baru ini menentang Sri Pahang yang mana Wan Zack Haikal berjaya membawa perubahan ketara selepas dimasukkan pada babak kedua permainan.
Selain bijak membuat hantaran mengelirukan ke arah zon berbahaya, bekas tonggak Selangor FC itu juga beberapa kali melakukan percubaan untuk menggelecek bola dengan skil yang menarik untuk disaksikan.
Jika Wan Zack Haikal diletakkan dalam pasukan, tugasan besar perlu dipikul bek kanan skuad Gergasi Merah, Quentin Cheng untuk memastikan bola tidak diterimanya selain menghalang segala pergerakannya.
2. Clayton da Silva
Pada awal musim lalu, kemasukan penyerang kelahiran Brazil, Clayton da Silva seakan-akan tidak mendapat restu penyokong skuad TBG memandangkan mereka dikaitkan dengan pemain lebih prolifik.
Namun, kebelakangan ini, tonggak Perak FC itu mula meraih kepercayaan dengan prestasi cemerlang ditonjolkan hampir setiap kali diturunkan selepas berjaya mencipta gandingan bersama dua pemain sayap pasukan, Wan Zack serta Azfar Fikri.
Clayton mempamerkan peningkatan dari segi persembahan kebelakangan ini. — Facebook/Perak FC
Meskipun catatan tiga gol dan dua bantuan jaringan tidaklah menceritakan prestasi sebenarnya, persembahan dalam kesemua perlawanan memberi bayangan bahawa Clayton seseorang yang perlu diawasi.
Tanggungjawab itu perlu dipikul gandingan bek tengah, Sharul Nazeem Zulpakar dan Umar Eshmurodov memandangkan pasangan utama, Harith Haiqal dan Safuwan Baharudin masih terlibat dalam kempen Piala AFF.
Kesilapan mudah perlu dielakkan kedua-dua pemain itu memandangkan Clayton bijak menghidu peluang dengan kebolehannya mencuri bola juga wajar diperhatikan anak-anak buah Kinoshi.
3. Firdaus Saiyadi
Tidak boleh dinafikan bahawa kunci utama Perak FC dalam dua musim kebelakangan ini adalah gandingan mantap di bahagian tengah antara Sunday Afolabi dengan peranan bertahan sementara Luciano Guaycochea memikul tugasan mencipta peluang.
Namun, di sebalik kehadiran dua bintang import itu, terselit Firdaus Saiyadi yang juga boleh dianggap sebagai antara nadi skuad TBG sejak pulang dari Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2023.
Kredit lebih besar wajar diberikan kepada Firdaus Saiyadi. — Facebook/Perak FC
Masalah kecederaan dialaminya sedikit sebanyak menghalang pemain itu daripada turun lebih kerap dengan ketiadaannya membuatkan Yusri Che Lah sukar mencari kestabilan dalam pasukan.
Bagaimanapun, sekiranya berada dalam tahap kecergasan terbaik, anak jati Perak berkenaan boleh menampilkan aksi terbaik memandangkan dia bijak melakukan pergerakan untuk mencipta ruang kepada rakan sepasukan.
Tidak cukup dengan itu, Firdaus juga sering menampilkan aksi bertenaga untuk mencuri bola daripada pihak lawan untuk mencipta serangan kepada pihak lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram