MESKIPUN sedang selesa di persada Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih memberikan perhatian penuh menjelang aksi berdepan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.
Ini dibuktikan dengan persiapan penuh dilakukan skuad kendalian Hector Bidoglio itu yang menurunkan barisan terbaik dalam sesi latihan seperti mana dikongsikan di laman media sosial kelab.
Keberadaan bintang pasukan, seperti Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva sememangnya menunjukkan kelab Selatan tanah air tersebut serius dalam meraih tiga mata penting.
BACA LAGI: 'Lama tak nampak', ketiadaan Hong Wan resahkan penyokong JDT
BACA LAGI: FAM gugurkan Damien Lim, Hong Wan dari kem latihan Harimau Malaya
Matt Davies (tiga dari kiri) sudah kembali ke padang latihan menjelang aksi berdepan Sri Pahang FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, di sebalik kelibat pemain-pemain berkenaan, penyokong mendapati bek kanan pasukan, Matt Davies sudah kembali selepas beberapa minggu terpalit dengan masalah kecergasan.
Berdasarkan data, kali terakhir pertahanan warisan negara itu berada dalam pasukan adalah ketika mereka membenam Perak FC 5-0 dalam saingan Liga Super pada 10 November lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila kelibatnya dalam sesi latihan pada Isnin membawa keriangan buat penyokong meskipun masing-masing masih tidak mengetahui bilakah dia boleh diturunkan semula.
Tetapi, di sebalik kelegaan orang ramai yang menyaksikan kepulangan Matt Davies, persoalan mengenai keberadaan pemain tengah, Hong Wan terus bermain dalam fikiran peminat pasukan berkenaan.
Graduan akademi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers itu gagal dikesan sejak beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite menentang kelab China, Shanghai Port pada September lalu.
Kali terakhir Hong Wan berada dalam pasukan adalah ketika kempen ACL Elite. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun terdapat ura-ura mengatakan ketiadaannya disebabkan masalah kecederaan, hal terbabit tidak disahkan JDT meskipun penyokong terus bertanya mengenainya.
"Aku sedang mencari Hong Wan, lama rasanya dia hilang dari radar," kata Jahaya Rahman.
"Lama sudah tidak nampak Hong Wan," kata Ridzuwan Jo.
"Nak tanya, mana perginya Hong Wan? Sudah lama betul tidak nampak dia berlatih," kata Muhammad Affandi.
Sejak menyertai skuad Harimau Selatan pada 2021, pemain berusia 24 tahun terbabit terus menjadi watak utama pasukan dengan kebolehannya mengesan pergerakan lawan menjadi aset utamanya.
Bagaimanapun, disebabkan ketiadaannya dalam pasukan, peranan pemain tengah bertahan itu kini diisi Natxo Insa yang kembali berada ke tahap sebenar selepas diberikan minit permainan kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram