Hikmah tinggalkan JDT, bintang termahal Liga Super bantu kelab Argentina tamatkan kemarau 11 tahun tanpa trofi


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Jalil Elias akhirnya merasai gelaran pertama dalam kariernya selepas menjuarai Liga Argentina bersama Velez Sarsfield. — Instagram/Jalil Elias

SAMBUTAN menggalakkan diberikan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan pertama musim ini ketika kelab itu melaporkan mereka akan membawa masuk pemain kebangsaan Syria, Jalil Elias.

Manakan tidak, berdasarkan laman sesawang transfermarkt, tonggak di bahagian tengah itu mempunyai nilai mencecah €3 juta (RM15. 2 juta), sekali gus menjadikannya pemain paling bernilai dalam sejarah Liga Super.

Selain itu, dia memikul peranan besar bersama kelab terdahulunya, San Lorenzo kerana diberikan kepercayaan memakai lilitan tangan kapten di samping menjadi perancang utama pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Import baharu JDT sarung jersi no 7, petanda Jalil Elias sudah tinggalkan Harimau Selatan

BACA LAGI: [VIDEO] Wajah mirip Kaka, JDT umum pengganti Jalil Elias

@officialjohor

Jalil hanya merekodkan satu penampilan Liga Super buat skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kedua-dua kriteria itu cukup untuk membuatkan peminat setia skuad Harimau Selatan meletakkan harapan untuk menyaksikannya menjadi antara pemain paling penting buat mereka.

Namun, cita-cita tersebut tidak kesampaian apabila Jalil hanya merekodkan satu penampilan Liga Super sebelum kehadirannya menimbulkan tanda tanya memandangkan kelibatnya tidak kelihatan di padang latihan.

Persoalan itu akhirnya terjawab pada Ogos lalu selepas pelbagai agensi media antarabangsa melaporkan pemain berusia 28 tahun tersebut sudah kembali ke Liga Argentina dan menyertai Velez Sarsfield.

Keputusan tersebut menimbulkan lebih banyak tanda tanya sehingga penyokong beranggapan JDT sudah silap melakukan percaturan untuk membawa masuk pemain berkenaan.

Bagaimanapun, dengan lambakan pilihan lain yang boleh beraksi di bahagian tengah, kehilangan Jalil tidak begitu dirasai dengan penyokong kembali meletakkan kepercayaan terhadap pihak pengurusan.

elias-jalil-2022-san-lorenzo-1655300374-86928

Jalil Elias menghabiskan majoriti daripada kariernya di Amerika Selatan. Agensi

Malah, sebahagian penyokong setia berasakan tindakan kelab Selatan tanah air itu melepaskannya secara pinjaman boleh membawa keuntungan lumayan kerana Velez Sarsfield akan membuat pelaburan sekiranya pemain terbabit beraksi cemerlang buat mereka.

Pandangan itu hampir pasti menjadi realiti kerana baru-baru ini, Jalil berjaya membantu pasukan kendalian Gustavo Quinteros itu menjuarai Liga Argentina buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun.

Berita gembira tersebut dikongsikan di pelbagai platform media sosial, termasuk di akaun peribadi pemain berkenaan yang jelas berpuas hati dengan kejayaan ditempanya itu.

Pencapaian berkenaan disahkan selepas pasukan itu berjaya menundukkan Huracan dalam satu pertembungan pada Isnin yang menyaksikan mereka memiliki kelebihan tiga mata berbanding pencabar terdekat.

Kejayaan itu juga pasti akan menjadi titik tertinggi buat Jalil dalam kariernya setakat ini memandangkan ia merupakan gelaran pertama yang berjaya dijulangnya.

Jadi, kenangan manis tersebut pasti akan membuka pintu buatnya kekal di negara Amerika Selatan itu sekiranya Velez Sarsfield membayar jumlah ditetapkan JDT untuk menebus kontraknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram