JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus membuat kejutan buat penyokong Harimau Selatan apabila mengumumkan ketibaan pemain baharu mereka iaitu Iker Undabarrena, yang akan menambah sengat di bahagian tengah pasukan.
Arkitek dari Sepanyol itu merupakan tonggak kelima yang disambar oleh skuad Harimau Selatan menjelang jendela perpindahan kedua musim 2024/2025 dengan dia dijangka akan menjadi nadi utama JDT untuk saingan domestik dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Pemain berusia 29 tahun itu dilihat mempunyai banyak pengalaman beraksi di negara kelahirannya apabila pernah menyarung jersi Bilbao Athletic, CD Tenerife, CE Sabadell dan CD Leganes.
BACA LAGI: Lepas 97 hari 'welcome back Faisal Halim', Ronnie bangkit sumbat 2 gol buat Selangor FC
BACA LAGI: [VIDEO] DNA samba paling menjadi sepanjang musim Liga Super setakat ini
Selain kelab-kelab La Liga, pemain yang dikatakan mempunyai wajah mirip seperti legenda bola sepak Brazil, Kaka, itu juga pernah berkhidmat bersama kelab berpangkalan di Portugal iaitu Tondela.
Tonggak Bawah 17 tahun Sepanyol itu juga membantu CD Leganes untuk muncul juara La Liga2 bagi musim 2023/2014, sekali gus berhasil melayakkan pasukan berkenaan beraksi di La Liga musim ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman Transfermarkt, Undabarrena telah beraksi hampir 170 perlawanan di La Liga 2 dengan dia juga menjaringkan satu gol dan tujuh bantuan gol.
Namanya mungkin kurang dikenali dalam kalangan penyokong tanah air namun pengalamannya bersama kelab Eropah itu sekurang-kurangnya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jalil Elias.
Elias yang tiba di bumi Johor pada awal musim ini sudah kembali ke Argentina menyertai kelab divisyen utama, Velez Sarsfield secara pinjaman selama enam bulan dari JDT dengan bayaran serta pilihan untuk membeli.
Pemain berusia 27 tahun itu dianggap sebagai import kurang memberi impak buat JDT pada awal musim ini selepas dia hanya turun selama 69 minit ketika berdepan Negeri Sembilan FC pada 18 Mei lepas.
Undabarrena merupakan pemain baharu kelima Harimau Selatan selepas Park Jun-heong, Enzo Lombardo; penjaga gol muda, Christian Abad dan Eddy Israfilov yang baru sahaja diumumkan pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram