Fandi Ahmad sedia buat rombakan, Martin Stano tak pernah pandang rendah Kuching


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Jaringan dari Farhan (kiri) memberi Sabah satu bekalan gol sebelum aksi kedua Piala Malaysia pada 23 Disember ini. — Facebook/SabahFC

BEKALAN satu gol masih belum meletakkan Sri Pahang FC dan Sabah FC dalam kedudukan selesa selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada minggu lalu.

Pasukan Tok Gajah dan The Rhinos masing-masing bergelut dalam perlawanan apabila menang tipis 1-0 sebelum aksi timbal balik di laman sendiri selepas ini.

Skuad kendalian Fandi Ahmad yang sebelum ini berjaya memastikan Selangor FC pulang awal di pusingan 16 tempoh hari berdepan cabaran sukar daripada Perak FC terutamanya pada separuh masa kedua perlawanan.

BACA LAGI: Terima kad merah, Alto Linus beri jaminan Gabriel Peres beraksi saingan Piala Malaysia

BACA LAGI: Hanya sekali menang lawan Pahang, 3 pemain Piala Presiden Perak wajib dipertaruhkan YCL

Anak buah Yusri Che Lah terus memberi asakan bertali arus ke gawang lawan tetapi penyudah yang tidak berkesan menafikan hasrat mereka untuk sekurang-kurangnya menyamakan jaringan.

Namun, Sri Pahang pastinya perlu bekerja lebih keras terutamanya selepas penjaga gol utama mereka, Zarif Irfan dilayangkan kad merah ketika perlawanan menghampiri penghujung babak menyaksikan Fandi perlu mencongak kembali perancangannya menjelang suku akhir kedua nanti.

"Alhamdulillah tapi ini baru suku akhir pertama dan kalau kita tengok, Perak banyak menyerang kita pada separuh masa kedua dan pemain saya cuba untuk buat serangan balas tapi mungkin mereka sedikit penat.

"Kita akan ada rombakan sedikit dan perlu perbaiki balik corak permainan untuk aksi timbal balik nanti, mudah-mudahan pemain akan lebih bersedia apabila kita pulang ke Temerloh nanti," kata Fandi.

Sementara itu, satu lagi perlawanan tumpuan pada Ahad adalah derbi Borneo antara Kuching City FC dan Sabah FC yang bakal menjadi lawan kepada Sri Pahang atau Perak di separuh akhir Piala Malaysia nanti.

Pertempuran sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan ini di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak sebelum Sabah berjaya meraih satu jaringan pada minit 32 menerusi Farhan Roslan.

Pengendali baharu Sabah, Martin Stano menyifatkan peluang masih terbuka memandangkan Kuching City tidak memberi laluan mudah dan menjangkakan pertembungan yang lebih sukar untuk aksi timbal balik minggu hadapan.

"Perlawanan malam ini (Ahad) penuh kejutan baik daripada fizikal dan emosi di mana aksi ini bukan mudah dan saya tak pernah pandang rendah pasukan Kuching.

"Mereka merupakan lawan yang bagus jadi, saya katakan kepada pemain sasaran kita adalah untuk jaringkan gol dan mereka berjaya melakukannya.

"Apa pun, untuk perlawanan kedua nanti sudah tentu akan ada perubahan pemain disebabkan beberapa kad kuning yang dilayangkan, tapi kita tetap akan cuba terbaik." jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram