SABAH FC mendapat suntikan psikologi yang penting menjelang perlawanan Derby Borneo pada perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia Ahad nanti selepas mengatasi Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super pada Rabu.
Skuad kendalian jurulatih interim, Alto Linus itu meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City di Stadium Negeri, Kuching dengan Saddil Ramdani membuka jaringan pada minit ke-66, namun pemain tengah The Cats, Zahrul Nizwan menyamakan kedudukan minit ke-82.
Enggan menyerah kalah, Sabah akhirnya meraih kemenangan apabila pemain import Brazil, Gabriel Peres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 sebelum dibuang padang pada masa tambahan akibat kad kuning kedua.
BACA LAGI: [VIDEO] Satu stadium dengar meraung, bek 28 tahun patah kaki cuba halang rembatan pemain Sabah
BACA LAGI: Bukan hanya aksi Buriram, 3 kali kad merah warnai aksi JDT di Asia
Momen gembira Alto Linus memeluk pertahanan Sabah FC, Gabriel Peres selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan aksi bertemu Kuching City.
Walaupun begitu, Sabah berjaya meraih tiga mata berharga sekali gus mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian Alto Linus yang menggantikan Datuk Ong Kim Swee.
Alto yang sebelum ini merupakan pembantu kepada Kim Swee memberi jaminan bahawa pemain pertahanan tengah dari Brazil itu masih boleh beraksi dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Kuching meskipun menerima kad merah.
“Saya tiada komen mengenai Gabriel yang dibuang padang tetapi kami akan semak video kejadian tersebut tapi dia masih boleh bermain dalam Piala Malaysia nanti.
“Kami akan melihat video perlawanan dan menilai apa yang perlu diperbaiki. Dengan kemenangan itu, sudah pasti pasukan berada dalam mood yang baik untuk perlawanan menentang Kuching dalam Piala Malaysia nanti.
“Tidak mudah untuk bermain menentang Kuching, mereka berada dalam momentum yang baik, tapi kami gembira dapat menang di sini.
"Semua pemain bermain dengan keyakinan untuk memberikan kemenangan sebagai satu pasukan. Ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi ia masih positif bagi kami dan tidak mudah untuk bermain di tempat lawan.
“Ada pemain yang semakin baik dari segi prestasi dan ini yang kami mahu dalam pasukan dan kami harap ia berterusan selepas ini," katanya.
Kemenangan tersebut memastikan Sabah kekal di tempat kedua Liga Super dengan 29 mata daripada 15 perlawanan.
Johor Darul Ta'zim berada di puncak dengan 40 mata daripada 14 perlawanan, manakala Selangor FC di tempat ketiga dengan 29 mata daripada 14 perlawanan, tetapi mencatat jumlah gol yang lebih rendah berbanding Sabah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram