[VIDEO] Pasukan sumo robot Tunku Kurshiah cipta nama di Asia, berpeluang jumpa wakil Jepun, Perancis


  • Podium
  • Isnin, 16 Dis 2024

Tangkap layar daripada pertembungan wakil TKC dalam pertandingan yang berlangsung di Jepun itu.

PEMBANGUNAN teknologi robotik dalam negara semakin pesat hari ini dengan kemodenannya boleh membawa manfaat dalam pelbagai bidang sekiranya pendedahan berterusan diberikan.

Jadi, dalam memastikan terdapat kesinambungan untuk mengembangkannya, generasi muda perlu berjinak-jinak dengan dunia tersebut seawal di zaman persekolahan bagi melahirkan lebih ramai pakar pada masa depan.

Pendedahan itu sememangnya sudah diambil beberapa sekolah dalam tahun-tahun kebelakangan ini sehingga ada yang mengambil keputusan bersaing dalam apa sahaja jenis pertandingan robotik di peringkat antarabangsa.

BACA LAGI: Bermula di Kerteh, jurutera kelahiran Batu Pahat kini jadi pelopor pendidikan robotik, pengekodan negara

BACA LAGI: [VIDEO] Doktor di China buang tumor pesakit sejauh 5,000km guna teknologi robotik

470198560_891373266467422_4078240643810690811_n

Dua wakil negara yang mewakili TKC dalam pertandingan tersebut. Facebook/Ikedo Kogeki Malaysia Robot Sumo Team

Antara yang aktif berbuat demikian ialah Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Negeri Sembilan apabila baru-baru ini, mereka bertanding dalam Pertandingan Sumo Robot Seluruh Jepun (All Japan Robot Sumo Tournament) 2024.

Kejohanan itu turut disertai dua lagi wakil negara, iaitu Kelab Peminat Robotik NS dan Ikedo GR Kogeki, namun kedua-dua kelab itu gagal melepasi pusingan pertama.

Perkara tersebut dikongsikan di laman Facebook Ikedo Kogeki Malaysia Robot Sumo Team yang memaparkan sekolah berprestasi tinggi tersebut berpeluang berdepan wakil dari beberapa negara.

Ini termasuk pertembungan bertemu peserta dari sebuah kolej di negara Matahari Terbit tersebut, iaitu Ooita Technical Kagetsu bagi kategori robot seberat tiga kilogram (kg).

Meskipun bukanlah nama besar dalam dunia sukan sumo robotik, TKC berjaya mencipta kejutan apabila menumpaskan lawan mereka dengan keputusan 2-1 yang membolehkan mereka mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, cabaran dari peringkat antarabangsa sememangnya perlu diakui sekolah yang berpusat di Negeri Sembilan itu apabila tewas dalam aksi 32 pasukan kepada wakil Perancis, Cecil-Maxon.

Dalam pertembungan itu, TKC perlu akui kebolehan peserta dari Eropah berkenaan selepas tumpas 0-2 dengan lawan mereka tersebut jelas hadir dengan pengalaman berbeza.

Meskipun tidak menempa kejayaan, mereka yang bersaing sudah tentu berpuas hati dengan peluang diraih kerana turut bertemu pelajar dari pelbagai negara lain, seperti Amerika Syarikat dan China.

Pertemuan sedemikian membolehkan mereka menimba ilmu yang kemudiannya sudah tentu akan dikongsikan bagi memastikan dunia robotik akan terus berkembang pada hari-hari akan datang.

Selain itu, pendedahan diraih TKC pasti membuka ruang lebih luas kepada warga pendidik supaya menyedari kepentingan bidang itu kepada generasi hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram