JANJI pernah diberikan pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan seperti belum ditunaikan kerana sehingga hari ini, perkara masih berkenaan masih kedengaran di media sosial.
Ini dapat dilihat menerusi luahan berterusan daripada pemain, sama ada secara halus mahupun secara terbuka yang mahu kebajikan mereka dijaga memandangkan masing-masing tidak menerima gaji untuk kira-kira tujuh bulan.
Situasi terbabit sekali gus merencatkan moral skuad Sang Kenari di atas padang dengan kelab Utara tanah air itu kini berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 15 perlawanan berlangsung selain ditunjukkan jalan keluar awal dari saingan Piala Malaysia 2024/25.
BACA LAGI: Jersi baharu gagal hasilkan tuah, Sang Kenari diikat Kuching City FC di Darul Aman
BACA LAGI: 'Terima kasih keluarga KDA FC', khabarnya bek Sang Kenari sudah 'terbang' ke Bumi Kenyalang
Wan Amirul Afiq wajar diangkat sebagai salah seorang tonggak Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC
Tidak cukup dengan itu, sikap culas pihak pengurusan tersebut menyaksikan terdapat pemain bertindak memboikot perlawanan dengan ada kalanya, mereka enggan berada di bangku simpanan meskipun tersenarai.
Bagaimanapun, baru-baru ini, mula kedengaran khabar melegakan apabila terdapat gambaran dikongsikan bahawa tunggakan gaji dialami KDA FC akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Ini selepas satu hantaran daripada bek kiri pasukan, Wan Amirul Afiq yang menyertakan kapsyen mencuri perhatian dalam video TikTok dimuat naik di akaun peribadinya baru-baru ini.
"Episod 365 hari hampir selesai, cerita tahun ini aku berikan tajuk 'Atur sahaja Ya-ALLAH, aku ikut. Perit, tidak mudah tetapi Alhamdulillah'," tulisnya.
Hantaran dimuat naik Wan Amirul Afiq di akaun TikTok peribadinya baru-baru ini.
Beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pemain skuad Sang Kenari sering memuat naik hantaran sebegitu, termasuk Irfan Zakaria beberapa bulan sebelum dia mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu.
Tindakan demikian menunjukkan bahawa mereka seperti sudah 'mati kutu' akan situasi dihadapi dengan kritikan berlebihan hanya akan mencetuskan situasi lebih serius.
Meskipun luahan Wan Amirul Afiq tidaklah menceritakan situasi sebenar mengenai nasib dialami mereka, ia sedikit sebanyak memberi gambaran isu tunggakan kewangan akan diselesaikan.
Namun, sekiranya dilihat daripada sudut pandang berbeza, terdapat kemungkinan bekas pertahanan Melaka United berkenaan bersyukur dia mampu mengharungi situasi kelam dialami kelab berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram