GOL daripada bek tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Cleylton dos Santos pada minit ke-40 membolehkan pasukan itu berada di hadapan ketika mereka menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) Rovers di laman sendiri pada Jumaat.
Jaringan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat pasukan tuan rumah yang memerlukan tonik tambahan selepas beraksi dengan baik, namun beberapa peluang disia-siakan.
Selain itu, gol daripada pemain kelahiran Brazil tersebut menyuntik semangat buat kelab Utara tanah air itu untuk melangkah lebih jauh dalam kempen MFL Challenge Cup.
BACA LAGI: Mudah benam PT Athletics, fans Penang seriau ‘penyakit lama’ berulang ketika Derbi Utara jumpa Kedah
BACA LAGI: [VIDEO] Piala Tun Ali: Taktikal menjadi, bintang beregu Kedah buka rahsia tundukkan Perak
Clayton meletakkan skuad Sang Kenari di hadapan pada babak pertama permainan. — Facebook/KDA FC
Ia segera dibuktikan pada babak kedua permainan apabila anak-anak buah Victor Andrag merancakkan lagi serangan terhadap kubu pasukan Liga A1 Semi Pro itu.
Gol daripada Aiman Afif pada minit ke-64 aksi memberikan kelebihan dua gol buat tuan rumah sebelum penyerang kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah menyumbat jaringan ketiga pasukan.
Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan skuad Sang Kenari boleh bercita-cita untuk beraksi dalam pusingan separuh akhir Piala Cabaran MFL.
Namun, di sebalik keriangan itu, penyokong berasakan terdapat kelemahan jelas dapat disaksikan, termasuk persembahan kurang meyakinkan daripada pemain sayap Kedah, Fayadh Zulkifli Amin.
Selain beberapa kali teragak-agak untuk melakukan hantaran, penyerang bertubuh kecil itu kerap mensia-siakan gerakan pasukan dengan keputusan yang hanya menyebabkan pasukannya kehilangan penguasaan.
Fayadh (21) gagal membawa impak seperti mana pernah ditonjolkan beberapa musim lalu. — Facebook/KDA FC
Persembahan kurang meyakinkan itu membuatkan penyokong memberi pesanan supaya anak jati Kedah terbabit menggiatkan aksinya dalam perlawanan akan datang buat skuad Sang Kenari.
"Fayadh harus melakukan perubahan terhadap corak permainannya, tak buat gol sendiri, banyak terlepas kawan-kawan yang pasti terasa hampa menanti hantaran daripadanya," kata Abdul Manaf Mohamad Isa.
"Dah lama tengok Fayadh ni, musim ini semakin mengecewakan. Kelam-kabut hadapan gawang lawan, kerap kehilangan bola. Dahulu memang letakkan harapan tinggi kepadanya," kata Zamri Jaafar.
Beberapa musim lalu, pemain berusia 26 tahun terbabit pernah diangkat sebagai antara permata skuad Sang Kenari dengan kelincahannya di bahagian sayap amat memukau.
Tetapi, dalam dua tahun kebelakangan ini, Fayadh kelihatan semakin bergelut untuk memberi sebarang sumbangan meskipun memiliki barisan pemain serangan terbaik dalam pasukannya.
Kekecewaan itu mampu ditebus sekiranya dia dapat menampilkan aksi lebih memuaskan dalam aksi Derbi Utara pada Rabu depan sebelum pertemuan timbal balik Piala Cabaran MFL empat hari kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram