Alami kecederaan ligamen, status Zii Jia sertai Terbuka Malaysia masih tanda tanya


  • Podium
  • Ahad, 15 Dis 2024

Zii Jia terpaksa melupakan peluang memenangi Jelajah Dunia Akhir selepas cedera menentang Shi Feng.

STATUS penyertaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam kejohanan Terbuka Malaysia pada Januari depan masih menjadi tanda tanya.

Hal ini kerana, kem pemain itu mengesahkan yang dia mengalami kecederaan ligamen selepas berdepan bintang China, Li Shi Feng dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir.

Kecederaan dialaminya itu membuatkan Zii Jia terpaksa melupakan hasrat meraih gelaran Jelajah Dunia Akhir selepas beraksi cemerlang di peringkat kumpulan.

BACA LAGI: Penaja mohon maaf isu bendera Malaysia terbalik di baju Lee Zii Jia

BACA LAGI: [VIDEO] Zii Jia tarik diri Jelajah Dunia akibat cedera, pemain Indonesia harap BWF ubah peraturan

Selepas melakukan pemeriksaan, Zii Jia disahkan mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kaki kanannya. Mujur buat pemain itu, kecederaan tersebut tidak begitu serius selepas menerima rawatan awal.

"Kecederaan dialami oleh Lee Zii Jia disahkan sebagai kecederaan ligamen pada buku lali. Bagaimana pun, kecederaan itu masih berada dalam kawalan.

"Ia disebabkan oleh rawatan awal dan imbasan dilakukan di Hangzhou, China dan semasa di Malaysia," kata pihak Zii Jia.

Keutamaan sekarang buat pemain itu adalah untuk kembali kepada tahap kecergasan terbaik sebelum turun beraksi buat musim 2025.

Dengan Terbuka Malaysia menjadi pertandingan pertama diadakan pada musim 2025, Zii Jia perlu cergas dengan pantas bagi dapat beraksi di depan penyokong sendiri.

"Keutamaan kami adalah memastikan Zii Jia kembali ke tahap kesihatan sepenuhnya dan keadaan fizikal terbaik sebelum dia kembali ke gelanggang.

"Oleh itu, program latihan dan perancangan mengenai kejohanan Zii Jia untuk musim akan datang akan berdasarkan pemerhatian rapi dan nasihat kesihatan kepadanya," ujar pihak Zii Jia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram