KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi perlawanan Liga Super minggu ke-16 dengan misi kembali bangkit selepas tersingkir daripada kejohanan Piala Malaysia 2024 pada Sabtu lalu (30 November).
Perlawanan pada Rabu (4 Disember) itu menyaksikan pengendali Kijang Emas, Park Jae-hong menurunkan tiga pemain import untuk mengutip tiga mata berharga di halaman sendiri.
Manakala ketua jurulatih 'interim' Terengganu, Badrul Afzan Razali pula mempertaruhkan tiga pemain Bawah-23 Tahun (B-23) dalam kesebelasan utama untuk menggagalkan harapan Kelantan membawa pulang sebarang mata.
BACA LAGI: 'Insiden 'cabul' Arif Aiman kesalahan ganas', layangan 3 kad merah aksi JDT-Buriram tepat
BACA LAGI: [VIDEO] Sony Norde hanya pergi 6 bulan, janji balik KDA FC kalau semua selesai
Perlawanan bermula dengan seimbang namun pasukan pelawat lebih banyak mendominasi separuh masa pertama sehingga berjaya menghasilkan satu jaringan menerusi pemain pertahanan, Muhammad Alif Zakaria pada minit ke-11 permainan.
Pemain berusia 26 tahun itu memanfaatkan bola biasan hasil sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid dengan jaringan lencongan yang menarik sehingga menewaskan penjaga gol KDN FC, Mohammad Fikri Che Soh.
Jaringan Alif Zakaria itu telah membuka ruang buat penyokong Terengganu mengkritik barisan serangan Sang Penyu yang diketuai oleh pemain import El Salvador, Nelson Bonilla Sanchez di ruangan komen media sosial pasukan.
"Asyik pertahanan sahaja yang buat gol, penyerang tak boleh harap. Baik duduk tepi padang minum air sirap," kata Mahadi Mohd.
"Siapa yang pilih Bonilla ini? Sakit hati tengok, depan tiang gol pun 'buta' lagi, macam mana boleh jadi pemain kebangsaan?" soal Luqman Jusoh.
"Penyerang import paling teruk tahun 2024, kedua-dua (Akinade dan Bonilla) langsung tak boleh pakai," ujar Poknik Nik.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan Terengganu mendahului 1-0 hasil jaringan cantik daripada Alif Zakaria.
Bersambung babak kedua perlawanan, KDN FC telah melakukan beberapa pertukaran dengan harapan berjaya menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan.
Namun usaha pertukaran pemain oleh Jae-hong itu tidak menunjukkan sebarang perkara positif apabila Terengganu menjarakkan kedudukan hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-63 permainan.
Jaringan voli oleh Safawi itu menewaskan Fikri Che Soh untuk meletakkan Terengganu di hadapan dengan jaringan 2-0.
Hasil usaha Kelantan hadir semasa waktu tambahan selepas Oday Ali Kharoub menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sekali gus memberikan hadiah sagu hati buat KDN FC.
Keputusan tamat dengan keputusan 2-1 dengan Terengganu mengutip tiga mata penting untuk memperkukuhkan kedudukan dalam Liga Super.
Walaupun Terengganu berjaya membawa pulang tiga mata berharga, penyokong tidak berpuas hati dengan sumbangan Nelson Bonilla dalam perlawanan itu.
Hadir dengan reputasi besar di Liga Thailand, Bonilla tidak mampu melakukan magisnya untuk memikat hati penyokong Sang Penyu.
"Nombor 99 (Nelson) boleh dah bungkus buang dekat laut, 'one by one' dengan penjaga gol pun tendang macam itu sahaja," kata Shafareen Ali.
"Selepas ini bagi Alif (Zakaria) pula penyerang, macam mana boleh lepas pemilihan pemain nombor 99 itu? Depan gol pun tak boleh buat lagi," ujar Jusoh.
"Nak tanya Bonilla itu jumpa dekat mana?" soal Faizal Rhole.
Selepas ini, Terengganu akan berdepan Negeri Sembilan FC untuk pusingan suku akhir Piala Malaysia 2024 pada 12 Disember sebelum melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu pada 18 Disember depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram