SATU ketika dahulu, Shahrel Fikri Mohd Fauzi pernah diangkat sebagai antara prospek terhangat selepas merangkul gelaran Penyerang Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2020.
Dia yang ketika itu beraksi buat PKNP FC memiliki kepantasan dan kualiti penyudah yang cukup baik dengan orang ramai berasakan pemain itu boleh berkhidmat buat skuad kebangsaan untuk beberapa tahun.
Namun, akibat isu kecederaan yang melanda, penyerang yang juga sinonim dengan panggilan Eky itu kian dilupakan, lebih-lebih lagi sepanjang dia disisihkan bersama Selangor FC.
BACA LAGI: Beri 'hint' pulang ke Perak, sokongan fans antara kelebihan Eky kembali sarung jersi Seladang
BACA LAGI: Pilih lagu 'Apa Eh Yang Sakit Jang', Eky 'hint' Negeri Sembilan destinasi seterusnya
Shahrel Fikri pernah menjadi nama besar dalam skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, dalam dua musim kebelakangan ini, namanya kembali disebut-sebut apabila dia bersinar buat Negeri Sembilan FC pada 2023 sebelum berkelana ke PDRM FC.
Kedua-dua perpindahan itu jelas menghidupkan semula kariernya kerana dia kelihatan semakin yakin di atas padang selain lebih berani dalam perlawanan besar buat skuad Sang Saka Biru.
Tetapi, ia masih belum cukup untuk menambat hati pengendali sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang mensisihkannya daripada skuad Piala AFF 2024.
Ini kerana jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengambil keputusan memanggil Syafiq Ahmad, Darren Lok serta Fergus Tierney sebagai penyerang dengan masing-masing juga menikmati musim memuaskan di peringkat kelab.
Ketiadaannya dalam Harimau Malaya menimbulkan tanda tanya dengan sesetengah penyokong berasakan faktor kenegerian menyebabkan Eky tidak disenaraikan untuk pertandingan terbabit.
Respons diberikan Shahrel Fikri terhadap penyokong di Instastory peribadinya.
Pandangan tersebut segera ditepis pemain kelahiran Tawau, Sabah itu yang menegaskan keputusannya untuk meneruskan karier adalah demi menanggung diri dan keluarga.
"Aku kadang-kadang menyampah juga benda ni. Aku tak kenal pun siapa kau, cukup lah tu nak 'up' perkara ini selalu. Aku main bola untuk kelangsungan hidup aku sahaja sekarang ini. Cukup lah tu, penat.
"Terima kasih sebab sokong, cukuplah dengan itu, tidak perlu pun benda-benda ni. Ramai lagi pemain lebih bagus berbanding aku," katanya menerusi hantaran Instastory pada Selasa.
Perkongsian itu dibuat berserta tangkap layar memaparkan seorang pengguna Facebook, Azizul Irwan beranggapan Shahrel Fikri disisih atas faktor latar belakangnya.
Penyokong terbabit mengatakan pemain berusia 30 tahun berkenaan sudah membuktikan dirinya bersama PDRM FC apabila menjaringkan gol ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) selain mencipta jaringan semasa aksi berdepan majikan lamanya, Selangor FC.
Namun, melihat kepada luahan terbabit, Eky seperti lebih selesa untuk memberi tumpuan di peringkat kelab serta meluangkan masa bersama isteri dan anaknya.
Ia juga menceritakan bahawa pemain itu sudah mahu memberikan ruang buat pemain lain bersama Harimau Malaya kerana sebelum ini, dia sudah menikmati tempoh cukup baik buat skuad kebangsaan dengan lima gol dicatatkan dalam 15 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram