KEJAYAAN menyingkirkan Selangor FC daripada kempen Piala Malaysia sudah tentu membakar semangat Sri Pahang FC bagi separuh kedua musim 2024/25.
Mereka yang memulakan kempen dengan sedikit perlahan kelihatan hampir kembali ke landasan kerana tidak mengalami sebarang kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir.
Bagaimanapun, masih jauh perjalanan buat skuad Tok Gajah untuk menjadi pencabar utama musim ini dengan perkara tersebut turut diakui penyokong mereka sendiri.
BACA LAGI: Mahu balas jasa Fandi Ahmad, Stefano Brundo 'asah gading' tunggu masa bantu Tok Gajah 'mengamuk'
BACA LAGI: Tampil cemerlang sebagai peledak, Stefano Brundo bersedia beraksi di posisi tengah
Brundo kelihatan menyertai sesi latihan skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, untuk membuktikan kebangkitan, aksi berdepan Perak FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pada 13 Disember perlu dijadikan titik kebangkitan sebenar buat Sri Pahang FC.
Pertemuan yang akan berlangsung di Stadium Manjung, Perak itu sememangnya membawa kelebihan buat tuan rumah selepas mereka berada dalam prestasi memuaskan kebelakangan ini.
Namun, skuad Tok Gajah juga akan tampil dengan kelainan bagi perlawanan terbabit kerana pemain kelahiran Argentina, Stefano Bruno sudah kelihatan kembali dalam sesi latihan.
Dalam perkongsian di laman media sosial pada Khamis, tonggak bahagian tengah Sri Pahang FC berkenaan sudah menyertai rakan sepasukannya setelah beberapa minggu tidak berada dalam pasukan.
Kehadirannya sudah tentu memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Fandi Ahmad kerana dia dapat membawa kestabilan dengan kehadirannya sebagai pemain tengah bertahan memberi dimensi berbeza buat pasukan.
Brundo (kanan) merupakan tonggak skuad Tok Gajah sepanjang dua musim di kelab itu. — Facebook/Sri Pahang FC
Selain itu, kebolehan Brundo dalam situasi bola mati amat dirindui memandangkan dia boleh membuat hantaran di samping berani melakukan percubaan setiap kali diberi peranan ketika sepakan percuma.
Musim ini, pemain berusia 31 tahun tersebut sudah merekodkan sembilan penampilan Liga Super dengan kali terakhir dia diturunkan adalah ketika pasukannya membenam PDRM FC di laman sendiri.
Sepanjang berada dalam pasukan, Brundo berjaya menjaringkan empat gol dengan dua daripadanya hadir ketika mereka membenam skuad Sang Saka Biru yang sekali gus menceritakan kepentingannya dalam pasukan.
Oleh itu, kelibatnya pasti diharapkan ketika skuad Tok Gajah bertandang ke Perak dengan kejayaan di tempat lawan mampu membakar semangat pasukan dalam kempen Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram