BEKAS peledak pasukan Perak FC, Shahrel Fikri atau lebih mesra disapa Eky dijangka akan kembali menyarung jersi skuad Seladang pada musim depan.
Ia susulan perkongsian terbaharu pemain itu di ruangan komen TikTok peribadinya yang seolah-olah memberi bayangan bahawa proses pemindahannya sedang berjalan ketika ini.
Pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu bersama pasukan Perak, ia nyata detik yang amat dinantikan penyokong setia The Bos Gaurus (TBG) yang pastinya merindui momen jaringan dan ledakan padu daripada pemain kelahiran Tawau, Sabah itu.
Tiga faktor menjadi pemangkin dan kelebihan sekiranya Eky kembali ke pangkuan Perak dan yang paling utama adalah sokongan padu penonton.
Syahrel Fikri ketika menyarung jersi Perak pada musim 2020. — Facebook/PerakFC
Sorakan pemain ke-12 dalam setiap perlawanan amat memainkan peranan besar dan kerusi duduk di Stadium Perak dijangka akan kembali meriah dengan kehadiran penonton setia yang kembali bersemangat untuk menyaksikan kebangkitan bekas penyerang Selangor FC itu.
Era kegemilangan Shahrel Fikri pada musim 2019/2020 antara yang paling diingati selepas pemain itu mengakhiri musim terakhirnya bersama Perak dengan kenangan manis apabila berjaya mencetak 10 gol.
Ledakan serta larian deras dipamerkan sentiasa menjadi ancaman kepada benteng pertahanan lawan ditambah pula dengan kelebihan fizikal dan ketinggian 180 meter dimilikinya.
Sokongan penonton terhadap Eky secara tidak langsung mampu membangkitkan semangat pemain yang lain dan nescaya, ia mampu meningkatkan lagi mutu persembahan anak-anak buah Yusri Che Lah pada musim depan.
Gandingan trio baharu
Kehadiran Shahrel Fikri dijangka akan membentuk gandingan baharu bersama Wan Zack Haikal dan Aris Asri sebagai trio di bahagian serangan hadapan.
Malah, seorang lagi penyerang berpotensi tempatan, Hadi Fayyadh boleh diletakkan sebagai penyerang kedua di belakang Eky sebagai 'mesin pemusnah' yang bersedia untuk merambat sebarang bola muntah mahupun peluang keemasan hasil daripada gerakan trio tersebut.
Wan Zack Haikal antara pemain yang dijangka mampu membentuk gandingan mantap bersama Shahrel Fikri. — Facebook/PerakFC
Ia sekali gus memberikan lebih banyak pilihan pemain buat Yusri Che Lah di jentera serangan selepas Perak kerap dibelenggu isu penyudah tumpul pada musim ini.
Ditambah pula dengan pengalaman dimiliki Eky dan Wan Zack yang pernah beraksi di liga luar negara, ia mampu mencetuskan fenomena sekiranya percaturan itu benar-benar direalisasikan oleh pengurusan Perak.
Minit permainan dan peluang wakili skuad kebangsaan
Meskipun kelibatnya bersama skuad Negeri Sembilan FC pada musim ini antara yang paling diperlukan, namun ia masih belum memadai untuk mengembalikan tahap fizikal serta ketajamannya ketika meledak kerana dia hanya memperoleh 14 daripada 25 penampilan pada musim ini.
Shahrel Fikri merupakan antara tonggak utama skuad Harimau Malaya satu ketika dahulu. — FAM
Perolehan itu sama sekali tidak setanding dengan bakat dan skil dimiliki kerana kemuncak prestasinya boleh dikembalikan sekiranya kepercayaan lebih diberikan untuk Shahrel Fikri mengetuai jentera serangan pasukan dalam setiap perlawanan.
Dengan statistik cemerlang dipamerkan bersama Perak satu ketika dahulu, semangat serta keinginan untuk meledak pastinya menjadi satu detik yang dinantikan bekas penyerang kebangsaan itu.
Kelebihan minit permainan akan memberikan peluang untuk pemain itu kembali dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya dan terus membuktikan era kegemilangannya masih belum tamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram