PERTEMUAN Wan Rohaimi Wan Ismail dengan kelab lamanya, PDRM FC menyaksikan pasukan semasanya iaitu Penang FC meraih tiga mata berharga dengan keputusan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Rabu.
Wan Rohaimi pernah membimbing The Cops dari 2021 hingga 2022. Selepas dilantik sebagai pengganti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, bekas penyerang kebangsaan itu akhirnya meraih kemenangan pertama sebagai pengendali Harimau Kumbang.
Permainan yang pada awalnya bermula dengan agak perlahan itu menyaksikan tempo permainan dari kedua-dua pasukan tidak terlalu mengujakan dari segi melakukan asakan ke arah kubu lawan.
BACA LAGI: Penyokong Perak FC sambut baik kepulangan Lee Tae-min ke Korea Selatan
BACA LAGI: Layak ke suku akhir, fans Perak ingatkan jangan ambil mudah cabaran Tok Gajah
Bagaimanapun, selepas 36 minit permainan berlangsung, Rodrigo Dias berhasil meletakkan Harimau Kumbang di hadapan selepas menyempurnakan hantaran daripada penyerang sayap, Al-Hafiz Harun.
Harimau Kumbang juga dilihat lebih menguasai permainan apabila melakukan tiga kali percubaan dengan dua daripada hampir membolosi gawang yang dijaga oleh penjaga gol The Cops, Bryan See Tian Keat.
Meskipun berada di hadapan pada babak pertama, beberapa pemain Penang seperti tonggak pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Syamer Kutty Abba dikritik kurang efisien pada perlawanan itu.
"Memang betul pengulas cakap, sampai Syamer pun dia kata berjalan-jalan sahaja," kata penyokong Harimau Kumbang, Anizal Ahmad.
"Boleh dengar pengulas pun kecewa dengan pemain Penang," tambah penyokong Penang, Ikhsan.
10 minit selepas babak kedua bermula, Harimau Kumbang memperkukuhkan kedudukan apabila tonggak tengah Penang iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat berhasil mencetak jaringan kedua buat Penang.
Babak kedua permainan juga bertambah teruk apabila hujan lebat membasahi Stadium Bandaraya sehingga merosakkan peluang pasukan untuk melakukan serangan dek keadaan padang terlalu becak.
Berbaki 15 minit sebelum tamat perlawanan, pegawai perlawanan yang diketuai ketua pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee memutuskan untuk memberhentikan aksi tersebut selama 30 minit.
Selepas ditunda seketika, permainan diteruskan namun keadaan padang yang masih bertakung jelas menyukarkan pemain kedua-dua pasukan untuk membawa bola dengan baik dan akhirnya aksi kekal 2-0 sehingga babak kedua berakhir.
Kemenangan pertama Wan Rohaimi itu jelas menggembirakan pengendali kelahiran Kelantan itu dan terus melakukan sujur syukur usai wisel penamat berbunyi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram