Pilih lagu 'Apa Eh Yang Sakit Jang', Eky 'hint' Negeri Sembilan destinasi seterusnya


  • Podium
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Shahrel Fikri jarang diberikan kepercayaan selepas bergelut dengan isu kecergasan sepanjang musim. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka pada Khamis, Selangor FC menjadi antara kelab terawal yang dihujani khabar angin dengan rombakan dijangka dilakukan.

Sebelum ini, kedengaran beberapa pemain sudah dibawa masuk dengan pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim serta pertahanan kental Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee merupakan antara nama yang disebut-sebut.

Namun, di sebalik perkhabaran tersebut, terdapat juga ura-ura yang mengatakan beberapa wajah skuad Gergasi Merah musim ini bakal ditunjukkan jalan keluar.

Penyerang kelahiran Tawau, Sabah, Shahrel Fikri merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal meninggalkan pasukan Lembah Klang itu selepas jarang diberi peluang oleh barisan kejurulatihan sepanjang musim.

Musim ini, pemain yang juga dikenali sebagai Eky itu hanya diturunkan sebanyak 13 kali sepanjang kempen Liga Super dengan kesemua daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

IPOH, 25 Sept -- Pemain Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang pasukan Felda United FC pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Perak, Ipoh malam ini.Keputusan semasa Perak mendahului 4-1.-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Shahrel (kanan) pernah mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan ketika bersama Perak FC.

Hal itu sememangnya jelas menjejaskan kemampuannya di hadapan pintu gol apabila dia hanya berjaya menjaringkan satu gol serta mencipta dua bantuan gol.

Oleh itu, dengan tempoh perpindahan pemain sudah dibuka, Shahrel pastinya mencari kelab baharu untuk meneruskan kariernya dengan menilai kemampuan serta minit permainan yang boleh ditawarkan skuad baharu.

Baru-baru ini, muncul satu khabar angin bahawa dua kelab Liga Malaysia iaitu Negeri Sembilan FC dan Perak FC dilaporkan berminat untuk menyambar bekas penjaring gol tempatan terbanyak 2020 itu.

Perkara itu pasti merunsingkan pemain berusia 28 tahun itu dengan masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri selain perlu menimbang akan minit permainan yang mampu diperolehi.

Tetapi, dalam satu hantaran di laman Instagram peribadinya, Shahrel seakan-akan memberi gambaran dia sudah memilih untuk menyertai skuad Jang musim depan.

316815977_1769965733366154_8275373023917353463_n

Adakah Shahrel sedang berteka-teki dengan peminat setia skuad Jang?

Foto yang memaparkan dia sedang berada di sebuah restoren disertakan lagu 'Apo Eh Yang Sakit Jang' dendangan Ally Noor dan Mastura mula ditularkan di media sosial.

Bagi penyokong Negeri Sembilan FC, mereka berasakan pemain itu wajar untuk menyertai jentera serangan Negeri Sembilan FC yang ketika ini meletakkan beban tersebut di bahu gandingan import, Matheus Alves dan Gustavo.

"Sejenis penyerang baik dia (Shahrel) ni, tapi diharapkan dapat menjaganya dengan lebih baik. Kalau dilihat kemampuannya di Perak FC sebelum ini, memang elok sahaja rasanya," kata Akramin Hariri.

"Pada saya, dia ni hanya perlu diberikan peluang sahaja. Tapi, kalau diberikan kepada ketua jurulatih skuad Jang, K Devan, memang meletup dia ni," kata Daniel Haiqal.

"Terbaik, sekurang-kurangnya bolehlah diletakkan di bangku atau pasukan simpanan dan jika perlu, bolehlah diberikan peluang untuk beraksi," kata Mat Salman.

Berdasarkan pemerhatian musim ini, Eky jarang diturunkan selepas kerap mengalami isu kecergasan sehingga terpaksa disisihkan Selangor FC yang turut kebuntuan di posisi serangan.

Namun, dengan sentuhan dan dorongan, pemain dengan ketinggian mencecah 1.8m itu diramal mampu mendapatkan semula rentak serta prestasinya seperti musim-musim sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram