KEBELAKANGAN ini, heboh diperkatakan di media sosial mengenai nama-nama yang akan menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas terdapat ura-ura mengatakan rombakan akan dibuat terhadap organisasi itu.
Perubahan itu dikatakan bakal dilaksanakan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang pernah memegang jawatan sebagai presiden badan induk bola sepak negara tersebut.
Meskipun perkara berkenaan masih belum disahkan, beberapa bayangan dikongsikan di media sosial menunjukkan perubahan terbabit akan menyuntik nafas baharu buat Harimau Malaya.
BACA LAGI: Malang selepas tinggalkan JDT, Solari alami nasib sama seperti Benjamin Mora
BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih dekat di hati', Benjamin Mora guna pendekatan TMJ bersama kelab baharu
Mora (kanan) mencipta kejutan apabila meninggalkan York United baru-baru ini.
Antara yang disebut-sebut akan menyertai revolusi FAM itu ialah bekas pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora yang sememangnya memiliki hubungan baik dengan Tunku Ismail.
Khabar angin itu dikuatkan dengan keputusannya untuk meninggalkan York United yang beraksi dalam Liga Perdana Kanada selepas hanya enam bulan bersama kelab tersebut.
Tindakannya untuk mengangkat kaki dari pasukan berkenaan menimbulkan ura-ura mengatakan bahawa dia akan dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan.
Namun, harapan itu segera terpadam apabila pada Ahad, pengendali berusia 45 tahun tersebut mengumumkan bahawa dirinya sudah menyertai sebuah pasukan di Mexico, Queretaro FC.
Perkara berkenaan dikongsikan di laman media sosial kelab yang mengatakan Mora kembali bersama mereka selepas pernah menjadi pembantu jurulatih 12 tahun lalu.
Bekas pengendali JDT itu dilantik pasukan yang berada dalam kedudukan ke-17 Liga Mexico itu selepas pihak pengurusan merehatkan pengurus terdahulu mereka, Mauro Gerk pada Sabtu.
Jadi, dengan Mora sudah mempunyai destinasi baharu, harapan untuk menyaksikannya mengendalikan Harimau Malaya sudah tertutup dengan beberapa calon lain pasti akan disaring.
Selain jurulatih kelahiran Mexico itu, Esteban Solari yang juga pernah membimbing JDT disebut-sebut sebagai pilihan untuk menggantikan Pau Marti Vicente.
Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain dan Tan Cheng Hoe yang berpengalaman bersama skuad kebangsaan juga adalah antara mereka yang dikaitkan dengan pasukan negara dalam masa terdekat.
Namun, setakat ini, tumpuan FAM pasti dihalakan ke arah saingan Piala AFF dengan harapan mereka dapat menutup kempen kali ini dengan kejayaan bersejarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram