'On form' buat kelab dan negara, fans Sabah benar-benar harap Stuart Wilkin tak angkat kaki ke Selangor


  • Podium
  • Isnin, 09 Dis 2024

Stuart Wilkin sekali lagi membuktikan kualitinya selepas menjaringkan gol ketika berdepan Kemboja.

KEPUTUSAN seri dicatatkan Harimau Malaya dalam aksi pembukaan Piala AFF ketika mereka berdepan Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja pada Ahad dengan persembahan sedikit mengecewakan ditampilkan.

Meskipun mereka berjaya mengelak kekalahan, Harimau Malaya sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah dalam pertembungan itu kerana kualiti mereka jauh meninggalkan lawan Asia Tenggara itu.

Namun, di sebalik aksi tidak bermaya tersebut, penyokong masih boleh tersenyum melihat gaya permainan pemain tengah, Stuart Wilkin yang menjaringkan gol pertama negara.

BACA LAGI: Hanya seri dengan Kemboja, ekor HM cuma mahu kudrat 'ubi muda' dikerah berdepan Timor Leste

BACA LAGI: Reda jika Stuart Wilkin ke Selangor, fans The Rhinos cuma pesan jangan lupa sejarah silam

469499406_1285299325876634_7974272854998317154_n

Stuart Wilkin meledak gol pembukaan ketika berdepan Kemboja. Facebook/FAM

Tandukan deras yang dilakukan pada minit ke-35 permainan meletakkan skuad kebangsaan di hadapan dengan ia turut membuktikan kebolehannya menyempurnakan setiap peluang terhidang.

Selain itu, pemain berusia 26 tahun berkenaan berjaya mengawal permainan apabila dia tenang diletakkan di samping Endrick dos Santos dan Syamer Kutty Abba di bahagian tengah.

Persembahan tersebut sekali gus meletakkan Stuart Wilkin sebagai antara bintang tempatan yang berada dalam prestasi terbaik, baik di peringkat kelab mahupun buat negara.

Ini kerana setiap kali diturunkan buat Sabah FC, bekas pemain akademi Southampton FC itu kerap memberikan persembahan memuaskan selain mencetak gol-gol penting buat mereka.

374690892_605326638431652_7844949376682473320_n

Stuart Wilkin merupakan tonggak utama skuad Sang Badak sejak beberapa musim lalu. Facebook/AFC

Perkara itu menyebabkan penyokong skuad Sang Badak berharap tonggak pasukan tersebut kekal selepas timbul ura-ura mengatakannya akan meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan akan datang.

"Harap pihak pengurusan dapat lanjutkan kontrak buat Stuart untuk dua tahun," kata Mohd Ammar.

"Sabah kena kekalkan Stuart Wilkin, bagus betul dia main kebelakangan ini. Kalau hilang sayang pula," kata Zamri Ibrahim.

"Kena beri kontrak panjang buat Stuart. Dah gol untuk Harimau Malaya, makin naik sudah saham dia ni," kata Omar Lucius.

Berdasarkan ura-ura ketika ini, pemain kelahiran England terbabit dikaitkan dengan Selangor FC yang pastinya tidak berdepan sebarang masalah untuk menawarkan kontrak baginya.

Malah, melihat kepada kualiti di bahagian tengah mereka, tidak mustahil sekiranya kelab Lembah Klang berkenaan menebus kontraknya dengan harapan dia dapat digandingkan di samping Nooa Laine dan Noor Al Rawabdeh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram