KARIER Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali kelab Indonesia, Persis Solo bermula dengan langkah kiri apabila dia masih belum merasai sebarang kemenangan selepas dua perlawanan.
Setelah meraih keputusan seri ketika berdepan Barito Putera pada 3 Disember lalu, bekas pengendali Harimau Muda berkenaan sekali lagi mengalami kekecewaan apabila pasukannya tewas kepada Persita Tangerang.
Pertembungan yang berlangsung di tempat lawan pada Ahad itu menyaksikan Persis Solo mengalami kekalahan 0-2 dengan keputusan tersebut menyukarkan hasrat mereka untuk keluar daripada zon penyingkiran.
BACA LAGI: Kualiti pemain naturalisasi di Indonesia lebih baik dari Malaysia — Kim Swee
BACA LAGI: Sedar cabaran menanti di Indonesia, Kim Swee intai muka baharu perkuat Persis Solo
Persis Solo mengalami kekalahan kesembilan dalam Liga 1 Indonesia. — Facebook/Persis Solo
Keputusan terbabit pasti memberi tekanan kepada Kim Swee yang mengambil keputusan berani mengembangkan sayap kejurulatihan ke Indonesia meskipun terpaksa meninggalkan kariernya di tanah air.
Dia yang sebelum ini mengendalikan skuad Sang Badak dalam Liga Super bertindak meninggalkan kelab itu selepas hanya beberapa minggu menandatangani kontrak baharu.
Namun, dengan keputusan sudah diambil, pengendali berusia 60 tahun terbabit pasti memahami tugasan berat menantinya bersama Persis Solo yang mahu mengelakkan penyingkiran ke divisyen kedua Indonesia.
Kepercayaan besar diletakkan di bahunya itu belum dilaksanakan dengan baik, tetapi dia seperti sudah memahami masalah besar pasukannya usai kekalahan kepada Persita Tangerang.
"Kita harus salahkan diri sendiri kerana pada separuh babak pertama, kita memiliki peluang-peluang yang cukup baik untuk mendapatkan gol, namun kita gagal dan kesalahan kita sendiri pada gol pertama lawan.
Kim Swee mengambil keputusan berani dengan meninggalkan skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
"Pada babak kedua, ketika kita sibuk mengejar kedudukan, penalti pula diberikan kepada pihak lawan dengan ia menyukarkan lagi usaha kita untuk kembali mengikat kedudukan. Kita perlu memastikan isu sedemikian tidak berulang," katanya.
Dalam perlawanan itu, Persita menjaringkan dua gol menerusi Marios Ogkmpoe dan Ahmad Hardianto sebelum bek kanan Persis Solo, Giovani Numberi dibuang padang pada minit ke-74.
Kekalahan itu sudah tentu menjadi tamparan kepada Kim Swee yang sudah tentu bercita-cita besar membantu pasukan baharunya itu kembali ke landasan sebelum terlalu lewat.
Selepas mengharungi 13 aksi liga, Persis Solo hanya mengaut lapan mata dengan kutipan itu menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-16 dengan peluang tipis untuk keluar dari kelompok tiga terbawah.
Kehadiran Kim Swee semestinya diharapkan dapat mengubah nasib kelab, lebih-lebih lagi selepas dia membuktikan kredibilitinya sepanjang tiga musim bersama Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram