PENYINGKIRAN daripada kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two selain kekalahan mengejut kepada Sri Pahang FC dalam kempen Piala Malaysia semestinya memberi kesan mendalam terhadap Selangor FC.
Ini kerana kekecewaan dalam kedua-dua pertandingan itu menutup peluang pasukan untuk membawa pulang kejuaraan musim ini dengan MFL Challenge Cup bukanlah sasaran relevan buat mereka.
Bagaimanapun, perasaan itu perlu segera dilupakan kerana skuad Gergasi Merah akan berdepan tugasan getir untuk sekurang-kurangnya meletakkan pasukan kembali ke landasan.
BACA LAGI: Pertukaran jurulatih ganggu 'momentum' Selangor FC — Nizaruddin
BACA LAGI: Pernah hadapi masalah DNA Jerman, pertemuan TMJ-RMS ubah prestasi Selangor FC
Skuad Jang terus bergelut dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Mereka yang kini berada di kedudukan kettiga Liga Super berpeluang untuk menambah baik kedudukan tersendiri menjelang aksi berdepan Negeri Sembilan FC pada Isnin.
Pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu semestinya diharapkan dapat menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Gergasi Merah untuk meletakkan mereka di tangga kedua, sekali gus membuka peluang untuk ke Asia musimk depan.
Meskipun skuad Jang bukanlah lawan yang perlu digeruni, Selangor FC tidak boleh memandang rendah terhadap pihak lawan kerana masalah tersebut jelas mengundang padah terhadap mereka kebelakangan ini.
Bagaimanapun, pasukan Lembah Klang itu tidak perlu terlalu terasa terbeban kerana berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga sebab skuad Gergasi Merah berpeluang meraih kemenangan ke-10 dalam Liga Super musim ini.
1. Taktikal Kinoshi mula membuahkan hasil
Penyingkiran daripada kempen ACL Two tidaklah terlalu mengecewakan Selangor FC kerana melihat kepada enam perlawanan di peringkat kumpulan, terdapat beberapa keputusan positif direkodkan.
Salah satunya sudah tentu kemenangan dalam aksi penutup berdepan Cebu FC di tempat lawan dengan empat gol berjaya dijaringkan skuad Gergasi Merah di tempat lawan.
Skuad Gergasi Merah menutup kempen ACL Two dengan kemenangan ke atas Cebu FC. — Facebook/Selangor FC
Tidak boleh dinafikan bahawa kejayaan di Filipina itu sememangnya tidak bermakna, namun ia menunjukkan nilai positif bahawa taktikal daripada jurulatih baharu, Katsuhiro Kinoshi mula difahami pemain.
Ini kerana pemain kelihatan lebih berani untuk melakukan hantaran berisiko untuk cuba mencipta peluang dengan pemain tengah, Yohandry Orozco mula menjadi nadi pasukan.
Meskipun Cebu FC bukanlah saingan sebenar Selangor FC, persembahan skuad Gergasi Merah yang semakin yakin membawa berita gembira buat penyokong yang mengharapkan pasukan itu dapat kembali ke landasan sebenar.
2. Kesungguhan merebut slot ke Asia
Seperti dikatakan di atas, kekalahan kepada Sri Pahang FC di laman sendiri menyaksikan Selangor FC tersingkir daripada Piala Malaysia setelah mengalami agregat 2-3.
Penyingkiran berkenaan sekali gus menutup peluang mereka untuk layak ke pentas Asia musim depan dengan juara kejohanan tersebut bakal diberikan slot automatik seperti mana disaksikan pada musim-musim sebelum ini.
Selangor FC perlu meraih tiga mata penuh untuk kembali ke kedudukan kedua Liga Super. — Facebook/MFL
Bagaimanapun, cita-cita mereka untuk beraksi di peringkat tersebut buat dua tahun berturut-turut masih belum tertutup kerana kedudukan dalam Liga Super masih boleh mengesahkan tempat buat mereka.
Ketika ini, perbezaan gol hanya membezakan mereka dengan Sabah FC yang menduduki tangga kedua Liga Super dengan mata kedua-dua pasukan terikat, namun kelebihan perlawanan berpihak kepada skuad Gergasi Merah.
Kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC mampu mengembalikan Selangor FC di kedudukan terbabit selain membolehkan mereka menarik nafas lega dengan jurang perbezaan yang agak luas.
Namun, seperti dikatakan, peluang sedemikian tidak boleh disia-siakan dengan pemain perlu memberikan aksi terbaik berdepan pasukan tercorot dalam Liga Super itu.
3. Rekod pertemuan
Sepanjang musim 2024/25, skuad Gergasi Merah dan skuad Jang hanya bertemu sekali setakat ini, iaitu dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, Selangor pada Mei lalu.
Perlawanan itu menyaksikan Selangor FC mudah meratah pasukan pelawat dengan empat gol berjaya dijaringkan dengan pihak lawan gagal memberi sebarang saingan.
Skuad Gergasi Merah menundukkan Negeri Sembilan FC di laman sendiri. — Facebook/Selangor FC
Ini sedikit sebanyak membuktikan pasukan Lembah Klang itu tidak berdepan sebarang masalah setiap kali berdepan Negeri Sembilan FC dengan jurang kualiti antara mereka cukup jelas kelihatan.
Malah, sekiranya dilihat daripada skop lebih luas, Selangor FC sememangnya berkelebihan kerana mereka mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri dalam lima pertemuan terakhir.
Rekod itu semestinya diharapkan dapat menjadi pembakar semangat ketika mereka bertandang ke Paroi dengan misi tiga mata penuh perlu diterapkan setiap pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram