KEMENANGAN 4-0 seakan-akan tidak bermakna buat Selangor FC dalam aksi terakhir Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two ketika mereka bertandang ke Filipina untuk berdepan Cebu FC.
Ini kerana tiga mata dikutip di tempat lawan gagal membantu mereka berada dalam kedudukan dua teratas dengan tiket itu diraih Muangthong United dan juara kumpulan, Jeonbuk Hyundai Motors.
Kegagalan tersebut sememangnya pahit untuk ditelan memandangkan skuad Gergasi Merah mempunyai kualiti dan peluang cerah untuk mara sebelum saingan peringkat Asia itu bermula.
BACA LAGI: Musim makin suram, apa sebenarnya masalah Selangor?
Kemenangan di Filipina tidak bermakna buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Penyokong cukup kecewa akan perkara itu kerana masing-masing beranggapan sikap mengambil mudah pihak lawan menyebabkan mereka kempunan meloloskan diri ke pusingan kalah mati.
"Kikislah sikap pandang rendah dan ambil mudah bagi setiap perlawanan. Sudah tiga kali kita kalah dengan pasukan yang sepatutnya kita boleh menang iaitu KL City FC, Sri Pahang FC dan Muangthong United," kata Amy Mat Piah.
"Itulah, silap kita tidak menang ketika berdepan Muangthong, satu kerugian yang besar. Tidak mengapalah, janji menang berdepan Cebu FC kerana boleh sumbang mata untuk kedudukan Liga Malaysia sekitar Asia," kata Ren Jun.
"Saya amat berharap dalam aksi-aksi selepas ini, beraksilah dengan serius. Banyak perkara perlu diperbaiki kerana ada pemain yang boleh diganti dengan mereka yang lebih bagus," kata Muhammad Amin Bin Hussin.
Sepanjang kempen ACL Two 2024/25, skuad Gergasi Merah berjaya mencatatkan 10 mata dengan hanya satu mata dibezakan berbanding Muangthong yang layak ke peringkat seterusnya.
Penyingkiran daripada pertandingan tersebut menyaksikan Selangor FC sekali lagi kempunan untuk meraih sebarang kejuaraan musim ini dengan MFL Challenge Cup merupakan peluang terakhir buat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram