Mahu balas jasa Fandi Ahmad, Stefano Brundo 'asah gading' tunggu masa bantu Tok Gajah 'mengamuk'


  • Podium
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Selepas meraih tiga mata berharga bertemu Penang FC, skuad Tok Gajah bertemu Kelantan Darul Naim dalam saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/Sripahang

TONGGAK Sri Pahang FC, Stefano Brundo mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi selepas diketepikan sejak September lalu susulan kecederaan, lapor MFL.

Pemain kelahiran Argentina itu mengalami kecederaan di kaki kanan sejurus berakhir perlawanan menentang PDRM FC pada 15 September sekali gus memaksa dia mengharungi proses pemulihan yang agak lama.

Dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi, Brundo berharap dia mampu untuk kembali cergas seperti sedia kala selepas agak lama tidak turun beraksi dan mahu terus bantu pasukan selepas ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami nak tuntut janji Syamer Kutty', fans Penang tuntut janji raih 3 mata berdepan Sabah

BACA LAGI: Enggan terbuai kemenangan bertemu Jeonbuk, Ali Olwan harap Selangor kekal prestasi berdepan JDT

WhatsApp Image 2024-10-25 at 13.49.28

Brundo (kanan) mencatatkan empat jaringan dalam pentas Liga Super musim ini. — Instagram/stefano_brundo

Apatah lagi, sebelum ini dia sering menjadi pilihan ketua jurulatih, Fandi Ahmad membarisi kesebelasan utama dan berharap masih mampu untuk membuktikan keupayaannya meskipun selepas pulih daripada kecederaan.

Musim ini, dia telah meraih empat jaringan dalam pentas Liga Super dan berazam ingin meraih pencapaian lebih baik berbanding musim lalu dengan 10 gol.

“Selepas menentang PDRM FC, saya mengalami kecederaan ketika beraksi dan kaki kanan saya perlukan masa untuk pulih.

“Sudah tentu saya ingin sentiasa bersedia untuk aksi-aksi akan datang dan saya harap dapat kembali beraksi di padang secepat mungkin.

“Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada Fandi Ahmad sebab dalam tempoh dua tahun ini, beliau selalu memilih saya untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Untuk itu, saya mahu terus membuktikan kemampuan saya sebaik sahaja dapat kembali ke padang untuk beraksi”, jelasnya.

Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan ke-9 Liga Super dengan 14 mata selepas 12 perlawanan.

Seterusnya, skuad Tok Gajah bakal menentang pasukan Kelantan Darul Naim FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram