Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, Pak Karim kini buka kafe di Sabah


  • Podium
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Tae-su merupakan figura yang amat disenangi dan diminati penyokong kelab Borneo tanah air tersebut. — Facebook/Sabah FC

KARAKTER dan personaliti pemain tengah Sabah FC, Park Tae-su sememangnya amat disenangi penyokong kelab tersebut meskipun sudah memasuki musim kelima dia bersama pasukan itu.

Dia yang menyertai skuad Sang Badak pada 2019 dilihat sudah menyesuaikan diri di Negeri di Bawah Bayu itu kerana berjaya menguasai dan bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih.

Tidak cukup dengan itu, kebolehannya bercakap dalam bahasa ibunda itu membolehkannya mencipta hubungan baik bersama rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan, termasuk bekas pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.

BACA LAGI: Lama menghilang, tonggak Sang Badak sudah kembali menjelang 'Derby Borneo'

BACA LAGI: Bukan sahaja jadi kapten Sabah FC, Park Tae-su ada 'tugas khas' bantu DOKS

WhatsApp Image 2024-12-06 at 12.18.47 AM

Tae-su menyatakan keterbukaannya untuk bersara bersama Sabah FC. — Facebook/Sabah FC

Malah, Tae-su yang merupakan import dari Korea Selatan seperti bersedia untuk menetap dalam negara kerana dia difahamkan sudah membawa ahli keluarganya dan menetap di Sabah sejak beberapa tahun lalu.

Keputusan berkenaan sememangnya disenangi penyokong dan penduduk di negeri Borneo tanah air tersebut yang senang dengan kehadiran serta personalitinya baik di dalam mahupun di luar padang.

Baru-baru ini, Tae-su sekali lagi mencipta hubungan lebih akrab dengan mereka di Sabah selepas dikhabarkan sudah membuka kafe yang menyediakan pelbagai pilihan juadah buat pengunjung.

Difahamkan, ia diberi nama 'People by PTS' dengan orang ramai sudah mula hadir ke kedai minum tersebut untuk memberi sokongan kepadanya selepas sudah bertahun-tahun menabur bakti.

WhatsApp Image 2024-12-06 at 12.15.28 AM

Kafe milik Tae-su yang difahamkan dibuka baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemain berusia 35 tahun itu membangunkannya seorang diri atau bersama-sama rakan perniagaan memandangkan ia sebelum ini dikenali sebagai 'People by Nook'.

Usahanya untuk membuka kafe berkenaan sekali gus membuktikan pilihannya untuk kekal di Sabah selepas menamatkan karier bola sepak dengan keputusan itu pasti meraih sokongan ramai.

Skuad Sang Badak dijangka menjadi kelab terakhir diwakili Tae-su kerana sebelum ini, dia pernah berjanji untuk kekal selain meluahkan hasrat untuk bersara bersama kelab terbabit.

Melihat kepada usianya yang semakin lanjut, kemungkinan dia akan berbuat demikian dengan terdapat kemungkinan pihak pengurusan akan memberikan tempat baginya dalam barisan kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram