SABAH FC mengesahkan pasukan mereka sebagai 'Raja Derbi Borneo' selepas berhasil menewaskan seteru, Kuching City FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Rabu.
Tidak sampai tiga minit beraksi, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dilakukan oleh pengadil perlawanan, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi untuk memeriksa sama ada Sabah diberikan sepakan penalti atau sebaliknya selepas insiden terjahan ke atas Telmo Castanheira.
Selepas melakukan pemeriksaan VAR, kekecewaan di wajah tonggak Sabah jelas kelihatan apabila Muhammad Khairulsyahmi memutuskan untuk tidak memberikan sepakan penalti kepada The Rhinos.
BACA LAGI: Penyokong Perak FC sambut baik kepulangan Lee Tae-min ke Korea Selatan
BACA LAGI: Layak ke suku akhir, fans Perak ingatkan jangan ambil mudah cabaran Tok Gajah
Keputusan seri 0-0 yang cukup menghiburkan apabila kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi dan permainan bergerak pantas dalam melakukan serangan bertali arus ke kubu masing-masing.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak menguasai permainan apabila lebih aktif melakukan asakan-asakan berbahaya ke gawang pelawat dan menyaksikan penyerang utama, Tchetche Kipre beberapa kali melakukan percubaan.
Keputusan 0-0 hingga babak pertama berakhir itu menyaksikan penyokong The Rhinos rata-ratanya bersetuju dengan kelajuan para pemain The Cats dan memetik nama Gary Steven Robbat agar tidak diturunkan pada separuh masa kedua.
"Gary out malam ini," kata penyokong Sabah FC, Azlan Bin Osman Lan.
"Memang out betul Gary malam ini. Tiada tandingan dengan pemain Kuching yang laju-laju. Sangat perlahan permainan Gary," tambah penyokong The Rhinos, Krool Annaz.
Pada minit ke-65, perseteruan Borneo dihangatkan dengan jaringan apabila lencongan cantik daripada sepakan percuma penyerang sayap Sabah, Saddil Rmadani meletakkan The Rhinos di hadapan.
Insiden panas berlaku tiga minit kemudian antara Castanheira dan ketua pasukan The Cats, James Okwuosa apabila tonggak tengah Sabah itu mendakwa disiku oleh bek tengah Nigeria berkenaan.
Selepas beberapa kali menyelamatkan percubaan pemain The Cats, penjaga gol Sabah iaitu Damien Lim akhirnya tertewas apabila tidak berhasil menyelamatkan gol lencongan Zahrul Nizwan pada minit ke-80.
Tidak sempat The Cats meraikan kejayaan gol penyamaan, Sabah kembali berada di hadapan selepas tandukan cantik dari Gabriel Peres yang menerima hantaran sempurna dari Farhan Roslan pada lima minit kemudian.
Peres dikenakan kad kuning kedua dan diarah keluar padang selepas posisinya terkeluar daripada benteng ketika sepakan percuma diberi kepada The Cats. Kad kuning pertama diberikan apabila bek tengah itu membuka baju usai meraihkan gol kedua The Rhinos.
Meskipun bermain dengan 10 pemain pada penghujung permainan, Sabah kekal sebagai 'Raja Derbi Borneo' selepas berhasil meraih tiga mata dalam aksi Liga Super di Kuching itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram