IMPIAN Datuk Ong Kim Swee untuk mencatat kemenangan pada aksi pertama bersama Persis Solo dalam saingan Liga 1 Indonesia tidak kesampaian apabila terikat seri pada Selasa (3 Disember).
Kim Swee mengumumkan perpisahan bersama Sabah pada November lalu menerusi satu hantaran di Instagram selepas mengendalikan Sang Badak sejak musim 2021.
Sepanjang membimbing Sabah, Kim Swee berjaya membantu The Rhinos menghuni tempat ketiga Liga Super dalam tiga musim berturut-turut dan membawa pasukannya layak ke Piala AFC 2023.
BACA LAGI: Jaringan cantik Alif Zakaria beri ruang fans Peteh kritik barisan serangan TFC
BACA LAGI: 'Insiden 'cabul' Arif Aiman kesalahan ganas', layangan 3 kad merah aksi JDT-Buriram tepat
Angka pengikut Kim Swee sebelum memulakan tugas bersama Persis Solo.
Tugasan pertama Kim Swee bersama Persis Solo yang ketika ini menghuni tangga ke-16 liga adalah bertemu Barito Putera dalam saingan Liga 1 Indonesia pada Selasa (3 Disember).
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Manahan itu, Kim Swee menurunkan barisan terbaik dengan Ramadhan Sananta dan Moussa Sidibe mengetuai jentera serangan Persis Solo.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan yang terhasil sepanjang 90 minit aksi berlangsung sekali gus menafikan hasrat Kim Swee meraih tiga mata dalam aksi debut bersama Persis Solo di Liga 1 Indonesia.
Angka pengikut Kim Swee selepas memulakan tugas bersama Persis Solo.
Walaupun Kim Swee gagal mengutip tiga mata pertama, namun beliau memenangi hati peminat Persis Solo apabila pengikut di Instagram rasmi miliknya menunjukkan peningkatan dengan lebih 1,000 penyokong mengikuti perkembangannya.
Sebelum menyertai Persis Solo pengikut Instagram beliau ialah 29,700 dan selepas perlawanan pertama pada Selasa rekod tersebut telah meningkat kepada 30,200.
Selepas ini, Kim Swee bersama Persis Solo akan mengalihkan tumpuan kepada perlawanan liga seterusnya iaitu berdepan Persita Tangerang pada Ahad (8 Disember) di Stadium Pakansari Bogor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram