PENGANJURAN pertandingan bagi mana-mana sukan merupakan satu inisiatif yang baik untuk mengenal pasti bakat selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Antara sukan yang sering dipertandingkan ialah badminton memandangkan orang ramai semakin tertarik untuk berjinak-jinak melihat kepada lambakan gelanggang dibuka kebelakangan ini.
Meskipun penganjurannya dapat mengumpulkan pemain amatur berbakat, terdapat juga keberangkalian saingan sedemikian membuka pintu terhadap perkara tidak diingini seperti kehadiran pemain tidak mengamalkan sikap kesukanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
BACA LAGI: [VIDEO] Sedih dibuang BAM, pemain badminton negara 'move on' mahu fokus belajar
Situasi itu berlaku baru-baru ini apabila seorang pengguna media sosial, Daus Solex berkongsi pengalaman berdepan pemain badminton muda yang boleh dikatakan kurang beradab.
Dalam video berdurasi seminit 19 saat yang dimuat naik, kelihatan perlawanan beregu lelaki sedang berlangsung antara Pablo BC dan sebuah lagi gandingan yang tidak dapat dipastikan latar belakang mereka.
Pertembungan itu menyaksikan salah seorang pemain Pablo BC bernama Khayri beberapa kali bertindak kurang beradab dengan kelakuannya itu seperti sedang melakukan gangguan psikologi terhadap pihak lawan.
Antara tindakan yang dilakukan adalah apabila dia menolak bulu tangkis ketika lawannya sedang cuba mengambilnya selain enggan memulangkannya ketika servis hendak dibuat.
Kemuncak terhadap sikapnya yang kurang disenangi adalah apabila dia melepaskan bulu tangkis ketika pihak lawan sedang mahu mengambilnya dengan kelakuan sedemikian sememangnya sukar diterima penonton.
Sukan badminton menjadi pilihan orang ramai untuk menjalani gaya hidup sihat.
Berang akan sikap itu, orang ramai yang berada di sekitar gelanggang mula menegurnya secara terbuka dengan mengatakan pemain lawan lebih berusia selain mengingatkannya bahawa adab merupakan sesuatu yang penting.
Teguran seperti 'Orang tua tu' dan 'Belajar hormat' turut didengari dalam video berkenaan dengan kata-kata itu menyebabkannya meminta maaf terhadap gandingan lawan.
Walaupun tindakan sedemikian dibenarkan, seseorang perlu menilai sama ada sikap sedemikian sesuai untuk dilakukan, lebih-lebih lagi ketika berdepan mereka yang lebih berusia.
Kelakuan sebegitu juga harapnya tidak berulang kerana sukan merupakan medium terbaik untuk menanam nilai murni dalam diri seseorang selain dapat menyuntik gaya hidup sihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram