Bintang Shah Alam Titans letak harapan tinggi, mahu bola keranjang diberi lebih perhatian seperti bola sepak di Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Kiivhern Selvarajah (dua kanan) menunjukkan kemahirannya sebagai seorang pemain bola keranjang dan dijangka menjadi watak penting buat pasukan Shah Alam Titans. — Instagram/kiivhern_0718

PEMAIN Shah Alam Titans, Kiivhern Selvarajah berharap agar ada pihak yang memberi lebih perhatian dan sokongan terhadap sukan bola keranjang di Malaysia dengan harapan sukan itu dapat berkembang setanding dengan bola sepak.

Kiivhern menegaskan bahawa Malaysia mempunyai pemain berbakat yang mampu bersaing bukan hanya di luar negara tetapi juga di dalam negara.

"Saya sangat berharap agar pihak berkenaan dapat memberi perhatian lebih terhadap bola keranjang supaya ia setanding dengan bola sepak di Malaysia.

"Kami memerlukan lebih banyak perhatian kerana kami mempunyai pemain berbakat yang mampu berkembang bukan hanya di luar negara tetapi juga di Malaysia.

"Kami juga memerlukan sokongan dari semua pihak agar sukan ini lebih dikenali. Jadi, saya berharap pihak berkenaan dapat membuat perubahan ke arah itu," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Liga Malaysia lebih kompetitif dan ibarat rumah kedua saya'

BACA LAGI: Idolakan Nabil Rauf, pemain Shah Alam Titans tekad bantu pasukan juara Liga Super Bola Keranjang

photo_6210720996227401439_y

Pasukan Shah Alam Titans memilih Kiivhern Selvarajah (tiga kiri) untuk membantu kelab tersebut dalam menghadapi kejohanan Liga Super Bola Keranjang. Instagram/kiivhern_0718

Di samping itu, ditanya mengenai persediaan menjelang saingan Liga Super Bola Keranjang 2024 yang akan membuka tirainya tidak lama lagi, pemain muda berusia 23 tahun itu dilihat sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.

"Sejujurnya, saya sudah lama bersedia untuk kejohanan ini, saya mula bermain bola keranjang sejak umur 10 tahun. Jadi, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan segala yang saya mampu untuk Shah Alam Titans.

"Oleh itu, sebagai persediaan, saya fokus pada rutin harian saya iaitu sama ada pertandingan atau masa lapang, saya akan terus berlatih," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kelebihannya terhadap pasukan, pemain berketinggian 1.93 meter itu berkata, dia mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu pasukannya itu.

photo_6210720996227401441_y

Pemain Shah Alam Titans, Kiivhern Selvarajah. Instagram/kiivhern_0718

"Kelebihan saya terletak pada posisi yang saya mainkan iaitu posisi tengah yang saya kuasai sejak 10 tahun lalu. Saya boleh katakan saya sangat dominan dalam posisi ini kerana saya amat gemar bermain sebagai pemain tengah.

"Bagi saya, kekuatan fizikal, keupayaan rebounding dan pergerakan yang lincah adalah kelebihan utama saya sebagai seorang pemain. Mungkin itu juga sebabnya Shah Alam Titans memilih saya," jelasnya.

Kiivhern turut berpandangan bahawa penganjuran Liga Super Bola Keranjang (LSBK) kali pertama itu dianggap sebagai permulaan yang sangat baik dalam memajukan sukan bola keranjang di Malaysia.

"Ini adalah kali pertama Liga Super Bola Keranjang dianjurkan dan saya rasa ia merupakan permulaan yang sangat baik.

"Setakat ini, Malaysia belum mempunyai pertandingan seperti draf Nasional Basketball Association (NBA), jadi acara ini adalah yang pertama yang saya lihat hampir menyerupai draf NBA.

"Saya amat kagum dengan penganjuran ini dan berharap liga ini akan terus berkembang, menjadi lebih besar dan mungkin melibatkan lebih ramai pihak termasuk menteri. Saya benar-benar berharap Liga LSBK akan terus maju," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram