
MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merancang untuk membina gelanggang pickleball pertama di bandar itu di The Spine@PJKita, Kelana Jaya dekat Petaling Jaya, Selangor dalam masa terdekat memandangkan sukan tersebut semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.
Datuk Bandar, Mohamad Zahari Samingon berkata, MBPJ telah melantik vendor selepas proses tender untuk membina enam gelanggang pickleball berhampiran gelanggang futsal di Dewan D’Kelana yang juga merupakan sebuah dewan serbaguna di Petaling Jaya.
Beliau memaklumkan pembinaan projek tersebut dijadualkan bermula pada Januari tahun depan selepas kontrak diberikan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
BACA LAGI : Bek tengah dicanang ikut langkah Nafuzi tinggalkan Kedah, ura-ura kembali ke skuad Sang Badak
BACA LAGI : KDA FC terima perletakan jawatan Nafuzi Zain walaupun berat hati, Victor Andrag pengganti interim
“Gelanggang pickleball akan dibina di kawasan berbumbung dan terbuka di lokasi berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa di negeri itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya merupakan pihak pertama yang menyediakan gelanggang pickleball.
"Keputusan untuk membina gelanggang pickleball dibuat selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengumumkan sukan tersebut akan diperkenalkan sebagai acara pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan dianjurkan Selangor ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2025.
"Menurut Amirudin, pakar sukan turut menjangkakan rantau Asia akan menjadi hab dunia untuk sukan pickleball, dengan penambahan 100 juta pemain dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
MBPJ telah melantik vendor selepas proses tender untuk membina enam gelanggang pickleball berhampiran gelanggang futsal di Dewan D’Kelana, sebuah dewan serbaguna di Petaling Jaya, Selangor. — Gambar Hiasan
Mohamad Zahari berkata demikian selepas menyampaikan anugerah kepada penerima Program Premis Makanan dan Tandas Bersih MBPJ sempena Hari Tandas Sedunia 2024 di Pusat Sivik Petaling Jaya.
Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan bagi mengiktiraf pengusaha dan pemilik atas usaha serta inisiatif mereka dalam memastikan premis makanan dan tandas awam sentiasa bersih.
Penilaian dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh MBPJ selaras dengan garis panduan kerajaan.
Sebanyak 119 penerima menerima anugerah pada majlis tersebut, termasuk 90 penerima untuk kategori premis makanan bersih dan 29 penerima untuk kategori tandas awam bersih.
Semua premis yang menerima pengiktirafan tersebut mencapai tahap kebersihan yang tinggi, dengan markah penilaian melebihi 86% untuk premis makanan dan 91 peratus untuk tandas awam.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Zahari berkata, lebih banyak pusat kitar semula boleh dibina di Petaling Jaya bergantung kepada ketersediaan lokasi yang sesuai.
MBPJ kini mempunyai Plaza Kitar Semula Eco PJ di Zon Perdagangan Bebas Sungai Way, yang merupakan pusat pengumpulan bahan kitar semula serta menjual barangan terpakai pada harga mampu milik.
Selain itu, terdapat Makmal Penyelesaian Sisa Pintar di SS2, sebuah projek perintis yang dilancarkan pada Mei 2017 untuk memproses sisa makanan menjadi baja cecair, biogas, dan detergen. — The Star /AIDA AHMAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram