PEMAIN Melaka City Venom, Abdul Muizz Canacan Adtud sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super Bola Keranjang yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.
Ditanya mengenai perasaanya apabila diberi peluang beraksi di Liga Malaysia, Abdul Muizz bersyukur kerana menurutnya ia merupakan satu penghormatan besar untuk dirinya sebagai seorang warganegara Filipina.
"Pertama sekali, saya berasa bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada liga ini dan bermain dalam Liga Malaysia adalah suatu penghormatan besar serta peluang yang amat mengujakan bagi saya.
"Sebagai seorang warganegara Filipina, bola keranjang adalah sebahagian daripada budaya kami dan dapat mewakili kemahiran saya dalam liga antarabangsa merupakan satu cabaran dan juga keistimewaan.
"Ini adalah platform yang menakjubkan untuk berkembang sebagai pemain dan berhubung dengan atlet berbakat dari pelbagai latar belakang," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Idolakan Nabil Rauf, pemain Shah Alam Titans tekad bantu pasukan juara Liga Super Bola Keranjang
BACA LAGI: Bukan setakat pemain lokal, Liga Super Bola Keranjang buka peluang bintang luar negara cuba nasib
Pemain Melaka City Venom, Abdul Muizz Canacan Adtud.
Menurut pemain muda yang berusia 23 tahun itu, dia memilih untuk bermain di Liga Malaysia kerana berasakan liga tanah air lebih kompetitif.
"Memandangkan saya sedang belajar di Malaysia, adalah wajar untuk saya bermain di sini. Liga ini sangat kompetitif dan Malaysia menawarkan keseimbangan unik antara kepelbagaian budaya, bola keranjang yang kompetitif serta persekitaran yang mesra.
"Berada di sini membolehkan saya mewakili warisan saya sambil berkembang dalam liga yang menghargai kerjasama pasukan dan pembangunan kemahiran. Ia juga terasa seperti rumah kedua kerana adanya komuniti Filipina yang kuat dan semangat yang serupa terhadap bola keranjang yang dikongsi oleh rakyat Malaysia," ujarnya.
Di samping itu, Abdul Muizz turut berkongsikan mengenai persediaannya menjelang siangan Liga Super Bola Keranjang berkenaan.
Abdul Muizz Canacan Adtud memiliki kelebihan sendiri untuk membantu pasukannya menghadapi cabaran dalam saingan Liga Super Bola Keranjang.
"Sebagai seorang pemain pasukan, saya komited untuk memberikan 100 peratus usaha saya semasa perlawanan dan latihan. Saya fokus untuk konsisten dalam pertahanan, mencipta peluang untuk rakan sepasukan dan kekal mental yang kuat dalam situasi-situasi kritikal.
"Saya percaya kemampuan saya untuk menyesuaikan diri, belajar dan memberi dorongan kepada orang lain dapat membantu membina mindset kemenangan untuk pasukan," kongsinya.
Mengulas lanjut mengenai kelebihannya terhadap pasukan, Abdul Muizz berkata, dia mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu pasukannya itu.
"Kekuatan utama saya adalah ketahanan. Saya mampu kekal tenang di bawah tekanan dan mengharungi cabaran yang amat penting dalam perlawanan yang sengit.
"Selain itu, dedikasi saya untuk terus memperbaiki diri setiap hari, minat saya terhadap permainan dan kebolehan saya untuk memberi inspirasi kepada kerjasama berpasukan adalah ciri-ciri yang saya bawa ke gelanggang untuk memperkukuh prestasi pasukan kami," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram