SIAPA boleh melupakan jaringan pemain tengah kebangsaan Tajikistan, Amirbek Juraboev ketika Kedah Darul Aman (KDA) FC mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan epik Liga Super musim lalu?
Aksi yang berakhir dengan keputusan 3-3 itu menyaksikan tonggak skuad Sang Kenari berkenaan meledak pada minit akhir untuk meranapkan impian pihak lawan mencatatkan kemenangan dalam semua aksi liga.
Jadi, tidak hairanlah apabila namanya terus disebut-sebut penyokong sehingga hari ini dengan masing-masing terus berteka-teki mengenai pemergiannya pada penghujung kempen 2023.
BACA LAGI: Sesuatu yang sukar, semoga berjaya Kedah — Amirbek Juraboev
BACA LAGI: 'Tak sangka KDA dapat sambar', fans Sang Kenari mula jatuh hati dengan Amirbek
Amirbek (kanan) berpeluang bertemu Paco Alcacer dalam saingan ACL Two. — Instagram/Amirbek Juraboev
Faktor kewangan KDA FC boleh dikatakan punca di sebalik perkara itu dengan pihak pengurusan tidak dapat menampung permintaan gaji pemain berusia 28 tahun terbabit.
Oleh itu, dengan khidmatnya tidak dikekalkan, Amirbek mengambil keputusan pulang ke negara kelahirannya dan menyertai FC Istiklol dengan kontrak yang akan berakhir pada penghujung 2025.
Keputusan tersebut jelas membawa kelebihan buatnya memandangkan kelab terbabit beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two berikutan kejayaan menjuarai Liga Tajikistan musim lalu.
Kehadirannya jelas dihargai pengendali pasukan itu, Igor Cherevchenko yang menurunkannya bagi kesemua aksi peringkat Kumpulan C, namun mereka masih belum meraih sebarang mata selepas lima perlawanan.
Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa cabaran dihadapi FC Istiklol dalam pertandingan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka perlu berdepan kelab lebih berpengalaman sekitar Asia.
Paco Alcacer pernah beraksi buat beberapa kelab sekitar Eropah. — Agensi
Ini termasuk wakil Emiriah Arab Bersatu, Sharjah FC yang menundukkan pasukan Amirbek dengan keputusan 1-3 dalam aksi berlangsung di Stadium Sharjah pada Selasa lalu.
Kelab dikendalikan Cosmin Olaroiu itu memiliki skuad serba lengkap dan turut dibarisi bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, Paco Alcacer yang dimasukkan pada minit ke-71 dalam perlawanan terbabit.
Pengalamannya beraksi di Eropah bersama beberapa kelab, seperti FC Barcelona dan Borussia Dortmund menjadikannya sukar buat FC Istiklol mengekang serangan pihak lawan meskipun pemain tersebut tidak mencetak jaringan peribadi.
Namun, bagi Amirbek pula, peluang berdepan seorang penyerang elit seperti Alcacer sudah tentu memberikan kelebihan baginya kerana dia mampu mengenal pasti kebolehan sebenarnya ketika ini.
Meskipun tidak lagi berpeluang untuk layak, FC Istiklol dan Amirbek sudah tentu mahu meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi penutup Kumpulan C berdepan Sepahan FC dari Iran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram