Langkah tepat tinggalkan Liga M, ex Selangor, Kedah antara bekas import menyinar di puncak Asia


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Reziq Bani mencetak satu gol dan dua hantaran bantuan buat Al-Hussein SC dalam lima perlawanan ACL2. — Instagram/ReziqBani

MELANGKAH ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite mahupun ACL2 merupakan satu impian buat setiap pasukan yang menyertainya dengan ia memberi peluang bagi mereka membina reputasi lebih megah.

Musim ini, dua kelab teratas Liga Super 2023, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC sedang mengharungi beberapa perlawanan ACL Elite dan ACL2 dengan pasukan berkenaan mahu memberikan aksi terbaik untuk mara lebih jauh.

Selain berpeluang menyaksikan dua pasukan Liga Super itu beraksi di pentas Asia, saingan ACLE dan ACL2 juga menyaksikan beberapa bekas pemain import Liga Malaysia (Liga M) memberikan persembahan memukau dalam membantu kelab masing-masing.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga bintang Muangthong United jadi tugas getir pertama Katsuhito Kinoshi kemudi Selangor FC

BACA LAGI: Kerap kena perap di Selangor, Khuzaimi Piee terbuka pulang ke skuad Jang?

Kecemerlangan beberapa bekas import mempamerkan taring masing-masing di ACL Elite mahupun ACL2 seolah-olah membuktikan bahawa adalah keputusan tepat meninggalkan Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga bekas import yang pernah mewarnai arena bola sepak negara yang semakin berhasil mencipta nama di pentas Asia pada musim ini;

1) Reziq Bani Hani

Bekas pemain import Selangor FC, Reziq Bani Hani menunjukkan impak positif buat pasukan baharunya iaitu Al-Hussein SC apabila menjadi watak utama dalam perlawanan menentang Ma'an baru-baru ini.

Pemain di posisi penyerang itu setakat ini sudah mencetak satu gol dan dua hantaran bantuan buat pasukan tersebut dalam lima perlawanan ACL2 yang diharungi oleh wakil Jordan berkenaan.

Hasil sumbangan dari pemain berusia 22 tahun berkenaan, Al-Hussein disahkan layak ke pusingan 16 ACL2 selepas memungut sembilan mata hasil meraih tiga kemenangan dalam Kumpulan A.

Reziq Bani yang dilabel sebagai 'Future Stars' ACL2 itu membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti namun kurang mendapat minit permainan selayaknya.

Bekas pemain Al-Faisaly SC itu kerap diturunkan selaku pemain gantian oleh bekas pengendali, Nidzam Jamil sehingga Reziq kurang dilihat memberikan sumbangan dalam 10 penampilannya dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

2) Mahmoud Al Mardi

WhatsApp Image 2024-11-28 at 20.37.08

Al-Mardi menyertai Al-Hussein pada musim lepas. — Instagram/Al-Mardi

Nama yang tidak asing lagi di Liga Super terutamanya dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi adalah salah seorang bekas import yang berjaya membuktikan keputusan meninggalkan Malaysia adalah satu keputusan tepat.

Kini beraksi dengan Al-Hussein SC di Jordan, Al-Mardi sekali lagi menunjukkan bahawa dia merupakan pemain yang boleh membantu barisan serangan dengan kreativitinya terutama dalam saingan ACL2.

Berdasarkan rekod, Al-Mardi yang beraksi di kelab berkenaan sejak Mei 2023 sentiasa diturunkan sebagai kesebelasan utama dan membalas kepercayaan itu dengan meledak satu gol dan dua hantaran bantuan.

Walaupun Al-Mardi lazimnya beraksi di sayap kiri, tetap dia turut kompeten bermain sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder) untuk pasukan berkenaan dalam saingan ACL2.

3) David Da Silva

Penyerang kelahiran Brazil, David da Silva yang muncul penjaring terbanyak dengan 30 gol dijaringkannya sepanjang musim bersama kelab Indonesia iaitu Persib Bandung pada musim lepas terus membuktikan bisanya.

Nama peledak itu bukanlah sesuatu yang asing dalam rantau Asia Tenggara, terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana dia pernah mewarnai Liga Super bersama Terengganu FC tiga tahun lalu.

Untuk rekod, penyerang kelahiran Brazil berkenaan pernah menjaringkan tujuh gol dan satu bantuan jaringan sepanjang 15 perlawanan buat Terengganu FC.

Membuktikan kualitinya bukan sekadar di pentas domestik, pemain berusia 35 tahun berkenaan meledak satu gol tunggal dalam saingan ACL2 iaitu ketika aksi menang 3-2 ke atas Lion City Sailors. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram