SEJAK kebelakangan ini, arena bola sepak tanah air hangat membincangkan topik mengenai penstrukturan pengurusan pasukan kebangsaan yang dijangka akan berwajah baharu demi menambahbaik kualiti Harimau Malaya.
Meskipun perkara itu masih belum disahkan mana-mana pihak, pelbagai bayangan mula dikongsikan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial mengenai bayangan struktur baharu organisasi.
Penstrukturan pengurusan pasukan kebangsaan yang dijangka diumumkan pada bulan depan itu sudah mengaitkan beberapa nama dan antaranya ialah bekas pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari.
BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia
Khabar angin Solari bakal berhijrah ke Kelana Jaya semakin hangat diperkatakan selepas jurulatih dari Argentina itu dilihat mengikut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Instagram.
Walaupun ia sekadar ikuti di media sosial namun ura-ura tersebut semakin diyakini selepas Solari dilaporkan baru sahaja meninggalkan pasukannya, Everton Vina del Mar di Chile meskipun pasukan terbabit berada di kedudukan memberangsangkan.
Everton yang menduduki tangga ketujuh boleh dikatakan berada dalam kedudukan memuaskan di bawah kendaliannya dan disebabkan itu, pemergiannya dari kelab itu disifatkan sebagai sesuatu perkara menghairankan.
Sepanjang semusim mengendalikan JDT, Solari menjadikan mereka sebuah pasukan serba lengkap dengan hanya dua mata dicicirkan sepanjang kempen Liga Super selain turut mengaut kesemua pertandingan domestik.
Tangkap layar Solari mengikuti FAM.
Oleh itu, ramai yang optimis bahawa kemasukan pengendali kelahiran 44 tahun berkenaan akan membawa perubahan dalam gaya permainan Harimau Malaya dan pastinya gaya serangan pasti diterapkannya.
Selain Solari, antara individu yang sudah ditemui Tunku Ismail ialah bekas pemain Everton dan pasukan kebangsaan Australia, Tim Cahill dengan dia difahamkan bakal memikul peranan penasihat bola sepak antarabangsa.
Tunku Ismail juga difahamkan akan merekrut Nafuzi Zain dalam struktur baharu itu selepas dia meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan jawatan pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kelihatan sesuai buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram