'Rajin pula turun latihan', fans Sang Kenari kritik pemain KDA FC boikot aksi Piala Malaysia 2024


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Rizal antara pemain yang didakwa memboikot perlawanan Kedah menentang KL City pada 22 November lalu.

PENYOKONG Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengkritik segelintir pemain-pemain pasukan itu selepas turun menjalani latihan bersama pasukan namun memilih untuk memboikot aksi sebenar perlawanan.

Perkara itu diluahkan penyokong-penyokong Sang Kenari selepas media rasmi pasukan memuat naik gambar pemain sedang menjalani latihan bersama jurulatih 'interim', Victor Andrag pada Khamis (29 November).

Dalam sesi latihan itu pemain-pemain seperti Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Ifwat Akmal dan beberapa senior lain turut kelihatan bersama pasukan yang mana sebelum ini mereka dipercayai memboikot perlawanan pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 22 November lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Cuma tiada luck', Irfan Bakti yakin baki perlawanan ACL2 boleh bantu Selangor mara

BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia

Tindakan memboikot perlawanan Piala Malaysia 2024 itu susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan sejak awal musim ini.

Bertambah parah lagi apabila Kedah dikhabarkan mungkin akan meneruskan baki saingan Liga Malaysia tanpa sebarang pemain import.

Melihat bintang-bintang Kedah yang didakwa memboikot perlawanan pertama, penyokong nyata tidak berpuas hati dengan kehadiran mereka berlatih bersama pemain-pemain muda.

"Harap Victor (Andrag) letak sahaja dekat bangku simpanan pemain-pemain mana yang boikot sebelum ini," kata Mohd Hamirul.

"Rajin turun latihan ya, jangan hari perlawanan nanti di bangku simpanan ada seorang sudahlah," ujar Syafiq Pouzai.

"Dapat buat latihan sahaja, selepas itu bila datang hari perlawanan semua hilang dari radar," jelas Mohd Yusrizal.

"Masa training nak turun, masa lawan semua sepakat nak boikot," luah Mohd Shaiful.

Perlawanan kedua pusingan ke-16 Piala Malaysia bakal menyaksikan aksi sengit buat kedua-dua pasukan selepas hanya dibezakan dengan satu jaringan.

Sebelum ini Kedah berjaya mengatasi KL City dengan keputusan 3-2 hasil dua jaringan Sony Norde dan Sukhrob Nurulloev.

Manakala KL City pula membawa jaringan sagu hati apabila Ryan Lambert dan Jovan Motika meledak gol buat The City Boys.

Perlawanan pada Ahad (1 Disember) ini pastinya akan menjadi persaingan sengit buat kedua-dua pasukan yang mahukan slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram