[VIDEO] 'Cuma tiada luck', Irfan Bakti yakin baki perlawanan ACL2 boleh bantu Selangor mara


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Antara aksi pasukan Selangor dan Muangthong United dalam perlawanan Kumpulan H ACL2 pada Khamis.

KEKALAHAN pertama buat pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi selepas gagal mempamerkan kebangkitan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila tewas 1-2 di tangan kelab Thailand, Muangthong United pada Khamis (28 November).

Skuad Gergasi Merah terpaksa mengigit jari di hadapan penyokong sendiri apabila tumbang 2-1 di tangan Muangthong United dari Thailand di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi, sekali gus menyaksikan kedudukan mereka jatuh ke tangga ketiga kumpulan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors kekal di tangga teratas, selepas membelasah Dynamic Herb Cebu, 4-0.

BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga bintang Muangthong United jadi tugas getir pertama Katsuhito Kinoshi kemudi Selangor FC

Selangor kini wajib menang ke atas wakil Filipina Dynamic Herb Cebu FC pada aksi pelengkap kumpulan 5 Disember ini.

Dalam masa sama, Selangor FC perlu mengharapkan ihsan keputusan pasukan lain untuk mengesahkan slot pusingan kalah mati.

Namun begitu, bekas ketua jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin akan kemampuan pemain-pemain Gergasi Merah untuk mara ke pusingan kalah mati dengan kemenangan ke atas Cebu FC pada 5 Disember nanti.

"Saya rasa ia tidak menjadi masalah buat pasukan Selangor untuk layak ke pusingan kalah mati walaupun tewas di halaman sendiri semalam (Khamis).

"Kalau melihat corak permainan Selangor menentang Muangthong United juga mereka lebih banyak menyerang cuma tiada 'luck' untuk menjaringkan gol.

"Jadi Selangor pasti akan bermain sepenuh hati untuk menang di Filipina nanti dengan Cebu FC yang sudah sah tidak layak ke pusingan kalah mati," katanya kepada Majoriti.

Irfan Bakti

Irfan Bakti (kanan) pernah mengendalikan Selangor pada musim 2012-2013.

Tambahnya lagi, beliau yakin agak sukar buat Muangthong United untuk mencatatkan keputusan positif menentang Jeonbuk Hyundai kerana perbezaan kualiti dipamerkan kelab Korea Selatan itu.

"Jika Muangthong bermain seperti semalam, agak sukar untuk mereka mendapatkan keputusan positif, namun dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

"Walaupun Selangor perlu berharap ihsan keputusan perlawanan lain, saya yakin Gergasi Merah akan mara selepas tujuh tahun tak bermain di Asia.

"Muangthong juga pasti akan bermain bermati-matian untuk layak sebab mereka tahu jarak mati tidak jauh beza dengan hanya satu mata sebagai pemisah," jelasnya lagi.

Terdahulu, babak pertama menyaksikan Selangor bermula garang memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Quentin Cheng.

Bersambung babak kedua, giliran Muangthong mempamerkan aksi agresif sekali gus menyamakan kedudukan menerusi Felicio Brown Forbes pada minit ke-53 sebelum Poramet Arjvirai melengkapkan gol kedua pasukannya pada minit ke-76. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram