PARA peminat Liverpool sedia melancarkan ‘perang’ terhadap pemilik kelab itu sekiranya mereka gagal mempertahankan bintang mereka, Mohamed Salah yang masih belum menandatangani kontrak baharu bersama pasukan itu.
Salah hanya memiliki baki kontrak sehingga hujung musim ini, namun sehingga kini laporan menyebut belum ada petanda positif mengenai rundingan perjanjian baharu selain khidmat pemain Mesir itu turut diintai oleh kelab dari Arab Saudi.
Musim ini menyaksikan Salah berjaya mengekalkan prestasi di bawah kendalian Arne Slot apabila meledak 12 gol dalam 18 penampilan dalam semua kejohanan menyebabkan para peminat The Reds tidak sanggup kehilangannya.
BACA LAGI: Darren Lok jadi 'kapla' Sabah, fans tak puas hati taktikal Alto Linus walaupun menang
BACA LAGI: Kelab Singapura intai peluang sambar bintang Terengganu FC?
Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group ketika ini masih kekal mengunci mulut mengenai perancangan untuk melanjutkan kontrak Salah menyebabkan mereka berdepan kecaman para peminat.
Salah ketika ditemui selepas muncul wira Liverpool yang berjaya menewaskan Southampton kelmarin mengakui tidak ada perkembangan mengenai rundingan kontrak baharu berkenaan.
“Kita hampir sampai ke Disember dan saya belum menerima apa-apa tawaran daripada pihak kelab. Potensi untuk saya keluar lebih besar berbanding terus kekal di sini.
“Anda semua tahu bahawa saya sudah berada di sini sejak sekian lama. Tidak ada kelab seperti Liverpool, tetapi pada akhirnya masa depan tidak berada di tangan saya,” katanya.
Rentetan kenyataan Salah itu, para peminat mula membanjiri laman sosial kelab tersebut dan melemparkan kecaman terhadap pihak pengurusan dan kebanyakan mereka menganggap kegagalan mempertahankan Salah adalah satu kesilapan besar.
“Jika anda tidak memberikan Salah apa yang diminta, kami akan melakukan apa sahaja untuk memboikot pemilik kelab dan memastikan mereka meninggalkan pasukan ini. Ia akan menjadi kesilapan terbesar FSG lakukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram