[VIDEO] Tiga bintang Muangthong United jadi tugas getir pertama Katsuhito Kinoshi kemudi Selangor FC


  • Podium
  • Khamis, 28 Nov 2024

Sebelum ini Selangor terikat dengan keputusan 1-1 menentang Muangthong United di Thailand pada 19 September lalu.

PEGENDALI baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi bakal menghadapi tugas pertama mengendalikan Gergasi Merah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dengan melayani kunjungan Muangthong United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis (27 November).

Ia misi sukar buat pengendali berusia 60 tahun itu kerana aksi timbal balik menentang Muangthong United adalah perlawanan hidup mati Gergasi Merah untuk layak ke pusingan ke-16 dalam saingan ACL 2 selepas tujuh tahun tidak beraksi di Asia.

Walapun di atas kertas Selangor dilihat mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri, perlu diingat bahawa Muangthong United juga menewaskan Cebu FC dengan keputusan 9-2 di Filipina pada 7 November lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Perlu perbaiki sistem serangan Persis Solo, Ong Kim Swee wajar 'reunion' bersama 3 bekas import Sabah FC

BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan TMJ 'loan' 3 import tepat, prestasi semasa jadi ukuran 'booking' slot di JDT

Kinoshi wajar melakukan persiapan rapi untuk membantu anak-anak buahnya mengekang tiga tonggak utama Muangthong United yang akan meranapkan impian Selangor untuk kekal beraksi di Asia.

Majoriti senaraikan tiga bintang utama perlu diberi perhatian oleh pemain-pemain Selangor dalam perlawanan kelima Kumpulan H pada Khamis:

1. Poramet Arjvirai

Pemain meningkat naik Thailand, Poramet Arjvirai merupakan senjata utama Muangthong United untuk membolosi gawang lawan dalam kejohanan ACL 2.

Dalam empat perlawanan ACL 2 musim ini, Ajvirai telah menjaringkan tiga gol dan Cebu antara mangsa ledakan hatriknya semasa di Filipina.

Pemain berusia 26 tahun itu juga mampu beraksi di beberapa posisi serangan seperti sayap dan tengah menyerang kerana ketenangannya ketika mengawal bola di kaki.

Manakala di saingan Liga Thailand, pemain berjersi nombor 10 ini telah tampil dalam 11 perlawanan dan menjaringkan empat gol serta satu 'assist'.

2. Felicio Brown

Mempunyai pengalaman luas di sekitar Eropah, Felicio Brown perlu diberikan perhatian oleh Kinoshi bagi membina kubu pertahanan yang ampuh untuk mematahkan serangan Muangthong United.

Ketinggian 1.89 meter juga menjadi kelebihan buat Brown untuk mendominasi bola di udara ketika Muangthong United diberikan sepakan penjuru atau sepakan percuma.

Pemain berusia 33 tahun itu juga menyamai rekod Arjvirai dalam saingan ACL 2 apabila menjaringan empat gol dalam tiga perlawanan.

Beraksi di China dan India menjadi kelebihan buat Brown untuk menyesuaikan diri menentang pasukan-pasukan dari Asia.

3. Aly Cissokho

Pemain veteran Muangthong United, Aly Cissokho antara tonggak utama pasukan itu meskipun sudah berusia 37 tahun musim ini.

Bekas pemain Liverpool FC itu juga antara individu yang menyukarkan barisan serangan Selangor untuk menjaringkan gol pada perlawanan pertama Selangor menentang Muangthong United di Thailand pada 19 September lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pengalaman beraksi dengan beberapa kelab gergasi Eropah seperti Olympique Lyon (Perancis), Valencia CF (Sepanyol), FC Porto (Portugal), Liverpool dan Aston Villa (England) pastinya menjadi taruhan Muangthong United berdepan Selangor pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram