NEGERI Sembilan (NS) Antlers memastikan tiket ke perlawanan akhir Champions Cup Liga Sepak Takraw (STL) 2024 selepas menewaskan Selangor Piston dalam pertemuan separuh akhir pada Sabtu.
Setelah tewas 15-17 dalam set pertama, skuad kendalian Mohd Shahir Nasrudin bangkit pada set kedua dengan meraih keputusan 15-9 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan NS Antlers mara ke perlawanan akhir dengan peluang cerah dimiliki mereka untuk mempertahankan gelaran yang diraih musim lalu.
BACA LAGI: Tewaskan NS Antlers, bintang KL Thunder akui 'berpeluh' sebelum menang aksi paling sengit STL 2024
BACA LAGI: [VIDEO] 'First ball' teruk, balingan bola tak serasi punca NS Antlers kalah kepada KL Thunder
Bagaimanapun, cabaran berat menanti pasukan itu kerana mereka akan bertemu juara keseluruhan STL 2024, Kuala Lumpur (KL) Thunders dengan kualiti wakil Lembah Klang berkenaan sukar dipersoalkan.
Mereka yang melangkah ke perlawanan akhir terlebih dahulu selepas menyingkirkan Perak Bison memiliki skuad serba lengkap dengan hampir kesemua daripadanya mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Final STL Champions Cup 2024 pasti akan menyajikan aksi mendebarkan. — Facebook/STL
Namun, penyokong NS Antlers enggan mengibar bendera putih terlalu awal kerana berdasarkan pertembungan sepanjang musim ini, KL Thunders pernah ditundukkan pasukan bimbingan Mohd Shahir itu.
"Dalam format Grand Prix (GP) sebelum ini, hanya Perak dan NS Antlers pernah 'makan' KL. Tak mustahil esok (Ahad) mereka akan ditewaskan sekali lagi," kata Mohd Aizzal.
"Bahaya kalau tengok KL Thunders punya pasukan, serba lengkap. Tetapi, NS Antlers pernah tewaskan mereka, jadi mungkin boleh ulangi kejayaan itu," kata Razak Faizal.
Sepanjang musim 2024, pasukan Lembah Klang itu hanya pernah ditewaskan sebanyak dua kali dengan salah satunya ketika mereka berdepan NS Antlers di GP Terengganu pada September lalu.
Malah, dalam pentas akhir GP Johor, tonggak KL Thunders, Amirul Zazwan mengakui lawan mereka itu merupakan antara pasukan terbaik dengan tekong, Haziq Hairul Nizam merupakan ancaman terbesar.
Jadi, pertembungan antara kedua-dua pasukan berkenaan di Stadium MPSJ, Serdang, Selangor pada Ahad sudah tentu akan menyajikan kehangatan buat peminat sukan sepak takraw seluruh negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram