PELBAGAI penambahbaikan perlu dilakukan pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim dengan pasukan itu masih belum menemui rentak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan seri kepada Ipswich Town sebelum ini turut menceritakan bahawa jurulatih kelahiran Portugal tersebut perlu bekerja keras dalam peringkat awal bersama kelab tersebut.
Antara fokus utama adalah untuk membantu pemain kembali ke prestasi terbaik dengan penyerang antarabangsa England, Marcus Rashford merupakan antara yang terdesak dalam menambah baik persembahannya bagi aksi-aksi akan datang.
BACA LAGI: Berlatih sambil lewa ketika era ten Hag, Casemiro dan Marcus Rashford cuba ‘bodek’ Ruben Amorim
BACA LAGI: Lepas aksi serba tak menjadi, Ten Hag yakin Rashford kembali 'on track'
Rashford merupakan penjaring pertama buat Manchester United di bawah era Amorim. — Agensi
Dalam saingan EPL musim ini, pemain itu hanya mencatatkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam 12 penampilan dengan pulangan tersebut masih belum mencukupi buat skuad The Red Devils.
Jadi, tugasan itu terletak di bahu Amorim yang sudah membawa sedikit perubahan terhadap penyerang terbabit memandangkan dia sudah kembali meletakkan nama dalam senarai penjaring ketika mereka seri kepada Ipswich Town.
Namun, pengurus berusia 39 tahun tersebut juga menuntut Rashford supaya membuktikan kesungguhannya untuk berubah dengan menerima perubahan dari segi formasi di atas padang.
"Saya akan cuba membantunya. Saya tahu posisi penyerang tengah bukanlah yang terbaik baginya. Seperti aksi berdepan Ipswich, ia bukanlah mudah kerana kita perlu memberi tekanan selain berdepan bek tengah yang memiliki kelebihan fizikal.
Amorim mendambakan perubahan sikap daripada Marcus Rashford. — Agensi
"Kita akan terus mencari solusi terbaik baginya dan juga mereka yang lain. Tetapi, tumpuan masih diberikan kepada Marcus terlebih dahulu kerana dia berdarah Manchester United," katanya lagi.
Ketumpulan jentera serangan merupakan isu yang mengundang kegusaran buat Amorim memandangkan setakat ini, The Red Devils hanya menjaringkan 13 gol dalam 12 aksi EPL.
Meskipun sudah berbelanja besar untuk membawa masuk Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee beberapa musim kebelakangan ini, ketumpulan barisan hadapan pasukan masih belum diselesaikan.
Bagaimanapun, pengurus berkenaan menegaskan dia tidak akan mendapatkan khidmat bekas anak buahnya, Viktor Gykores yang beraksi cemerlang di Portugal dan Eropah bersama Sporting CP. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram