WAKIL England di Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Arsenal, mempamerkan persembahan memukau apabila menewaskan kelab Portugal, Sporting Club de Portugal (Sporting CP) 5-1 di tempat lawan pada Selasa.
Persembahan cemerlang oleh skuad kendalian Mikel Arteta itu memberikan isyarat Arsenal mula memberi respons kepada tekanan diberikan mereka selepas mencatatkan beberapa keputusan tidak memberangsangkan kebelakangan ini.
Bagi penganalisis bola sepak Inggeris, Rio Ferdinand, dia melihat kemenangan The Gunners ke atas bekas kelab pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim sebagai isyarat kepada seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka yang Arsenal mula kembali.
BACA LAGI: Peluang raih EPL makin pudar, Arsenal hilang 3 bintang gara-gara tugasan antarabangsa
BACA LAGI: 'Tonton Arsenal ibarat Netflix', Patrice Evra 'trigger' The Gunners dikait dengan Man United
Persembahan memukau Saka menyerlahkan kualitinya sebagai pemimpin.
Ferdinand melihat kemenangan itu memberikan suntikan momentum buat The Gunners untuk kembali semula dalam perebutan takhta EPL yang kini sedang didahului oleh Liverpool.
"Tempoh 45 minit pertama adalah yang terbaik pernah saya saksikan oleh Arsenal untuk tempoh yang lama. Mereka hebat di pelbagai sudut.
"Arteta akan berkata, para pemain terbaik mereka kembali cergas dan penyokong bakal menyaksikan Arsenal yang sebenar. Mereka akan kembali memperoleh rekod yang baik dan jika mereka mampu melakukannya, Arsenal boleh cuba mendapatkan gelaran liga," kata Ferdinand.
Bekas pertahanan United itu turut memuji persembahan dihasilkan oleh pemain sayap Bukayo Saka yang persis seperti seorang pemain veteran.
Menurut Ferdinand, persembahan Saka begitu berpengaruh hinggakan berjaya membantu Arsenal memecahkan rekod tanpa kalah Sporting CP di laman sendiri musim ini.
"Saka bermain seperti seorang pemain veteran berpengalaman, melakukan hold up, memberikan bola kepada rakan sepasukan dan membuat keputusan tepat sepanjang perlawanan. Persembahan yang hebat. Semua orang mengatakan perlawanan ini akan menjadi sukar tetapi mereka membuatkannya menjadi mudah.
"Kita selalu berkata mengenai betapa rindunya Arsenal kepada Martin Odegaard tetapi jangan pandang rendah kepentingan Saka. Dia mempunyai lilitan kapten dan boleh menjadi ketua Arsenal tanpa sebarang keraguan. Dia tidak perlukan lilitan lengan itu, dia sudah pun menjadi pemimpin Arsenal.
"Dia memimpin dengan kebolehan mendapatkan bola sepanjang masa sama ada ketika dalam tekanan atau tidak, dia sentiasa mahukan bola dan mahu cipta sesuatu. Jaringan atau bantuan jaringan, dia sentiasa konsisten," komen Ferdinand. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram