
KEPUTUSAN kurang memberangsangkan dicatatkan Ruben Amorim dalam aksi pertamanya buat Manchester United apabila mereka terikat 1-1 dengan Ipswich Town dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan.
Selepas memulakan pertembungan dengan cukup baik menerusi jaringan Marcus Rashford, kealpaan benteng pertahanan The Red Devils menyaksikan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Omari Hutchinson.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup dengan ia sudah tentu sukar diterima Amorim yang mahu mencatatkan permulaan positif bersama kelab terbabit.
BACA LAGI: Amorim terpaksa guna kata-kata Mourinho untuk hidupkan semula impian fans Man United
BACA LAGI: Tak 'bahagia' bersama Amorim, penyerang Man United arah ejen cari kelab baharu
The Red Devils hanya meraih keputusan seri ketika berkunjung ke Ipswich. — Agensi
Jadi, untuk mengelak situasi sedemikian berlaku dalam masa akan datang, pengurus berkenaan sudah mula mencari jalan penyelesaian dengan rombakan terhadap skuad merupakan antara agenda yang akan diterapkan.
Hal itu turut diakui penyokong yang berasakan beberapa pemain perlu digantikan dan wajah baharu perlu dibawa masuk sekiranya Manchester United mahu kembali ke landasan di peringkat domestik.
Perubahan terhadap barisan pertahanan pasti menjadi sasaran awal Amorim memandangkan pasukan itu sudah dibolosi sebanyak 13 kali daripada 12 perlawanan EPL setakat ini.
Tumpuan pasti diberikan terhadap bek kiri kerana setakat ini, Tyrell Malacia dan Luke Shaw masih terpalit dengan isu kecederaan sehingga memaksa Diogo Dalot beraksi dalam posisi terbabit.
Oleh itu, bagi memperbaiki masalah terbabit, Manchester United dikhabarkan berminat membawa masuk pemain Wolverhampton Wanderers, Rayan Ait-Nouri pada jendela perpindahan musim sejuk ini.
Ait-Nouri dianggap bek kiri yang sesuai dengan gaya permainan The Red Devils. — Agensi
Pemain berusia 23 tahun berkenaan menjadi sasaran kerana dia bukan sahaja cemerlang dari segi pertahanan, malah membawa sumbangan penting dalam aspek serangan dengan tiga gol dan dua bantuan jaringan sudah direkodkan dalam kempen EPL.
Ait-Nouri juga boleh menjadi prospek hangat buat The Red Devils yang mahu menggunakan 'ubi muda' lebih kerap, sejajar dengan pendirian Amorim di Sporting CP sebelum ini.
Bek kiri antarabangsa Algeria itu difahamkan terbuka untuk meninggalkan kelabnya selepas tiga musim] dengan tempoh itu menjadikannya lebih matang di atas padang.
Malah, Wolves juga sudah tentu akan mendengar sebarang tawaran Manchester United memandangkan kontrak pemain tersebut akan berakhir pada Jun 2026 yang kemudian membolehkannya meninggalkan mereka secara percuma. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram