Tak banyak masa, 3 perubahan sempat diterapkan coach Kino dalam Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 27 Nov 2024

Kinoshi hadir dengan reputasi kurang dikenali kerana dia tidak pernah bergelar ketua jurulatih sepanjang kariernya. — Facebook/Selangor FC

KEPUTUSAN berani diambil Selangor FC apabila mereka melantik jurulatih kelahiran Jepun, Katsuhito Kinoshi sebagai pengendali baharu bagi menggantikan Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan.

Manakan tidak, dia yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman besar dalam bidang kejurulatihan diberikan peranan tersebut dengan misi getir dihadapi skuad Gergasi Merah di peringkat domestik mahupun Asia.

Namun, dengan keputusan sudah diambil, penyokong hanya boleh menerima kehadiran pengendali berusia 60 tahun itu dengan terus memberi sokongan padu kepadanya.

BACA LAGI: 'Made in Serbia' jurulatih Jepun dilapor bakal kemudi Selangor FC

BACA LAGI: Selangor memang 'gamble', undang masalah besar lantik coach tiada pengalaman — Bekas jurulatih

Sentuhannya sudah pasti diharap dapat disaksikan menjelang aksi pertamanya bersama pasukan ketika kelab Lembah Klang berkenaan menerima kunjungan Muangthong United bagi pertembungan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two pada Khamis ini.

Oleh itu, dengan hanya kira-kira dua hari berbaki, Kinoshi pasti tidak dapat membawa perubahan ketara dengan hanya beberapa sesi latihan dapat dikendalikannya.

Bagaimanapun, melihat kepada tempoh singkat ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga perkara yang boleh ditambah baik bekas pembantu jurulatih skuad antarabangsa Serbia itu.

1. Ubah mentaliti pemain import

Heboh khabar angin di media sosial mengatakan terdapat sebilangan bintang luar negara dalam skuad Gergasi Merah mempunyai ego tersendiri yang gagal dikawal Nidzam sebelum ini.

Ini kerana mereka beranggapan kualiti dimiliki jauh meninggalkan pemain lokal yang lain sehingga mereka tidak mahu berlatih bersungguh-sungguh dalam setiap sesi disertai.

Masalah demikian menyebabkan keretakan dalam skuad sehingga memberi kesan terhadap persembahan pasukan di atas padang dengan masing-masing enggan bekerjasama antara satu sama lain.

468456190_18467999542006712_5897300711301150140_n

Kinoshi perlu mencipta keharmonian dalam pasukan menjelang aksi pertamanya nanti. Facebook/Selangor FC

Perselisihan faham sebegitu perlu diselesaikan Kinoshi dengan segera memandangkan setiap perubahan, terutamanya dari segi taktikal cuba diterapkan tidak akan membuahkan hasil.

Antara cara terbaik untuk mengelakkan isu sedemikian terus menjejaskan keharmonian pasukan adalah dengan mengarahkan pemain meluangkan masa bersama-sama selepas sesi latihan.

Pendekatan sedemikian sering diterapkan pengendali ternama di luar negara dengan sesi makan tengahari bersama-sama sudah cukup untuk mencipta keserasian antara satu sama lain.

2. Terapkan taktikal serangan

Meskipun rekod jaringan skuad Gergasi Merah musim ini cukup baik, ia masih belum menceritakan persembahan mereka secara menyeluruh kerana pasukan itu tidak gemar mengambil pendekatan berisiko.

Kecenderungan menghantar bola kepada pemain pertahanan selain tidak cuba melakukan hantaran berbahaya menyebabkan gaya permainan pasukan kerap dikritik sepanjang berada di bawah kendalian Nidzam Jamil.

Jadi, situasi begini perlu diselesaikan Kinoshi dengan penyokong mahu melihat gaya permainan lebih agresif tanpa mengira pihak lawan yang bakal mereka hadapi.

468345358_18467999551006712_2486003471741261984_n

Kinoshi menjanjikan gaya permainan lebih aktif daripada anak-anak buahnya. Facebook/Selangor FC

Perkara itu sudah diakui pengendali berkenaan kerana dalam temu bual pertamanya, dia menegaskan taktikal menyerang mahu digunakan dalam usaha menjadikan skuad Gergasi Merah lebih digeruni.

Meskipun pendekatan sedemikian boleh mengundang ancaman terhadap benteng pertahanan sendiri, penguasaan bola lebih lama boleh mengelak perkara sedemikian menghantui Selangor FC.

Lima perlawanan akan datang, termasuk aksi ACL Two menentang Muangthong United dan Cebu FC merupakan medan terbaik untuk menerapkan perubahan tersebut memandangkan setiap pihak lawan mempunyai kelemahan dalam aspek pertahanan.

3. Letakkan pemain di posisi terbaik

Perubahan ketara disaksikan sepanjang tempoh kendalian Nidzam bersama pasukan itu adalah apabila dia berani meletakkan pemain di posisi yang kurang sinonim dengan mereka.

Keputusan meletakkan Safuwan Baharudin sebagai pemain tengah bertahan dan Sharul Nazeem Zulpakar sebagai bek kanan merupakan antara contoh terbaik yang dapat disaksikan mengenai perkara itu.

Usaha sedemikian wajar diberikan kredit kerana ia menceritakan pendekatannya yang berwarna-warni dan berisiko dengan ada kalanya ia membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

2964245 (1)

Pendekatan taktikal Nidzam Jamil masih wajar diberikan kredit. Facebook/Selangor FC

Namun, perkara sebegitu tidak sesuai lagi dilakukan memandangkan kekurangan sesetengah pemain boleh dikesan setiap kali dia tidak berada dalam posisi terbaiknya.

Perkara sedemikian juga sudah tentu dilaungkan penyokong yang beranggapan sebahagian besar skuad Gergasi Merah tidak mempunyai kualiti untuk memikul peranan berbeza di atas padang.

Sekiranya taktikal sebegitu masih mahu diterapkan, Kinoshi perlu memastikan keputusannya tidak akan memakan diri selain membawa impak positif seperti mana dimahukannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram