Selangor memang 'gamble', undang masalah besar lantik coach tiada pengalaman — Bekas jurulatih


  • Podium
  • Isnin, 25 Nov 2024

Kredibiliti Kinoshi (baju hitam) diragui kerana rekodnya yang tidak pernah menjadi ketua jurulatih kelab mahupun negara. — Facebook/SelangorFC

KREDIBILITI pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi diragui sesetengah penyokong selepas latar belakangnya yang tidak pernah menjadi ketua jurulatih menjadi kerisauan 'pemain ke-12' Gergasi Merah.

Menerusi kenyataan Selangor FC, Kinoshi memiliki kepakaran dalam membangunkan pasukan, strategi serta pembangunan pemain muda yang akan menjadi aset besar kepada kelab itu dalam usaha mencapai kejayaan.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Tokyo, Jepun itu hanya mempunyai pengalaman sebagai pembantu jurulatih kepada beberapa kelab dan termasuk skuad kebangsaan Serbia selama empat tahun.

BACA LAGI: Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang

BACA LAGI: Ong Kim Swee beri kemenangan ke-50 buat Sang Badak, fans anggap hanya perlawanan latihan Sabah FC

Kinoshi yang pernah bekerjasama dengan legenda Yugoslavia, Dragan Stojkovic berjaya membawa skuad kebangsaan Serbia muncul juara Kumpulan B4 Liga Negara-Negara UEFA 2022-2023.

Bagaimanapun, portfolio sebagai orang kanan kepada Stojkovic itu tidak memberi reaksi positif kepada segelintir penyokong dan ia juga nampaknya dipersetujui oleh jurulatih berpengalaman iaitu Irfan Bakti Abu Salim.

Pengendali yang pernah membimbing beberapa pasukan Liga Super itu berkata, Selangor seolah-olah memperjudikan nasib sendiri apabila melantik pengendali yang tidak berpengalaman menguruskan pasukan selaku ketua jurulatih.

"Kalau tak pernah mengendalikan mana-mana pasukan sebagai ketua jurulatih, boleh datang masalah. Pengalaman penting nak nak kendalikan pasukan, mengelola sepasukan ini bukan setakat taktikal saja. Perlu uruskan benda luar padang seperti dressing room.

"Walaupun Liga Malaysia (Liga M) ini biasa sahaja tapi saingan liga kita ini boleh tahan juga. Boleh dikatakan apa yang dilakukan Selangor ini memang gamble," katanya kepada Majoriti.

Menurut Irfan Bakti, pengalaman menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan berbeza dengan cara kerja melatih kelab bola sepak kerana ia lebih mempunyai banyak perlawanan berbanding aksi bersama pasukan negara.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti mencadangkan agar Selangor menyediakan pembantu jurulatih tempatan untuk menjadi orang kanan Kinoshi, sekali gus membantunya memahami atmosfera Liga Malaysia.

"Kalau urus pasukan negara itu jarang-jarang. Liga ini selalu kena pantau. Dia (Kinoshi) perlu mempunyai penolong lokal untuk membantunya menyesuaikan diri dengan kelab dan liga," tambahnya.

Ketika ini, Selangor mempunyai dua Penolong Ketua Jurulatih Selangor iaitu Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Abdi Hassan.

Abdi atau nama penuhnya Abdifitaah Mohamed Hassan bukanlah asing buat pasukan tersebut kerana beliau sebelum ini membimbing skuad bawah 23 tahun (Piala MFL) Selangor pada musim 2023 dan 2024/25.

dalam dalam

Shahrom Kalam (kiri) dan Abdi Hassan merupakan Penolong Ketua Jurulatih Selangor. — Facebook/SelangorFC

Jurulatih dari Belanda itu juga pernah bertindak selaku Ketua Pencari Bakat dan Jurulatih Metodologi bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).3

Manakala, Shahrom Kalam juga tidak perlu untuk diperkenalkan kerana beliau merupakan ketua pasukan Selangor bagi musim 2014 hingga 2016 dimana pada musim 2015 beliau dan rakan-rakan telah menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram