SELEPAS 20 tahun menjadi jurulatih di negara sendiri, kini sudah tiba masa untuk Datuk Ong Kim Swee menguji sejauh mana kemampuannya sebagai pengendali asing.
Bekas jurulatih Sabah FC itu kini menjadi pengendali kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo selepas kontraknya bersama pasukan Borneo itu tamat.
Indonesia bukannya negara asing bagi Kim Swee. Di sana, dia mencipta kenangan manis buat negara apabila meraih gelaran pingat emas Sukan SEA pada 2011.
BACA LAGI: Sah ke Persis Solo, tak mustahil 3 anak buah ikut jejak Kim Swee
Kini bersama Persis Solo yang menghuni zon penyingkiran Liga 1, Kim Swee bersedia mengambil cabaran itu untuk membuktikan kebolehannya sebagai jurulatih di liga luar.
"Ia adalah cabaran yang saya alu-alukan dan saya sememangnya teringin untuk bekerja di luar negara dan saya akan menikmati tempoh khidmat saya di sini.
"Saya juga mahu menunjukkan yang jurulatih Malaysia boleh melakukan tugas yang baik di luar negara," kata Kim Swee.
Kim Swee mengatakan yang kepercayaan yang diberikan oleh Persis Solo untuk membawa keluar kelab itu daripada zon penyingkiran membuatkan dia memilih untuk menyertai mereka.
Dia mendedahkan yang kekal bersama Sabah adalah salah satu pilihan tetapi Kim Swee cuba keluar dari zon selesanya.
"Saya boleh saja untuk kekal, terus berada dalam zon selesa tetapi apabila Persis Solo memberitahu yang mereka yakin saya mampu membawa mereka ke depan, saya memilih untuk berpindah.
"Sekarang ini saya sudah berada di Solo, saya bercadang untuk memantapkan keserasian dalam kalangan pemain, bukan saja di padang malah luar padang. Apa yang akan jadi, kita akan tunggu dan lihat," ujar Kim Swee.
Walaupun sudah berpindah, Kim Swee memberi bayangan tidak cuba membawa sebarang pemain Sabah ke kelab baharunya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram