KEMENANGAN 4-0 Sabah FC ke atas wakil Liga Semi-Pro A1, Putrajaya (PT) Athletic FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia pada Sabtu lepas menjadi perlawanan terakhir Datuk Ong Kim Swee.
Usai perpisahan bersama kelab Borneo tanah air berkenaan, heboh khabar angin mengatakan bahawa kelab Indonesia iaitu Persis Solo akan menjadi destinasi baharu pengendali berusia 53 tahun tersebut.
Spekulasi mengaitkan Kim Swee dan Persis Solo bermula selepas kelab berkenaan dalam kenyataan memaklumkan akan mengumumkan kehadiran ketua jurulatih baharu bagi skuad Laskar Sambernyawa pada Isnin.
BACA LAGI: 'You deserve better', Dominic Tan tinggalkan mesej menyentuh hati buat Kim Swee
BACA LAGI: Elak Kedah jadi kelab utara ketiga dimalukan Sabah, 3 prinsip Sang Badak perlu diperhatikan
Kim Swee akhirnya sah diumumkan sebagai pengendali kelab berkenaan pada awal pagi Selasa.
Apa yang menarik, kemungkinan anak didiknya di Sabah FC akan mengikuti jejaknya beraksi bersama pasukan di tangga ketiga tercorot Liga 1 Indonesia tersebut.
Justeru, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain The Rhinos yang mungkin akan menyarung jersi Persis Solo sekali gus mengikut jejak langkah Kim Swee bersama Persis Polo:
1) Saddil Ramdani
Saddil menyertai Sabah FC pada musim 2021. — Facebook/Sabah FC
Pemain pertama Sabah FC yang berpotensi beraksi di Indonesia ialah Saddil Ramdani kerana pemain kelahiran Raha, Sulawesi Tenggara itu tidak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana liga negaranya.
Saddil yang sudah bersama The Rhinos sejak musim 2021 itu antara pemain import yang banyak memberikan sumbangan kepada Sabah terutama dalam jumlah gol dan hantaran bantuan sepanjang empat musim ini.
Penyerang sayap kiri berusia 25 tahun berkenaan sudah meledak 18 gol dan membuat 25 hantaran bantuan sejak musim 2021 bersama Sabah, selain membantu The Rhinos layak ke Piala AFC.
Masih berada di landasan cemerlang, pemain berketinggian 1.72 meter tersebut berpeluang dibawa Kim Swee sekiranya pengendali itu masih mahu menggunakan kudratnya membantu kelab baharu yang bakal dikendalikannya.
2) Gabriel Peres
Nama bek tengah Sabah FC, Gabriel Peres pernah menjadi topik hangat di Indonesia apabila juara Liga 1 Indonesia musim lepas iaitu Persib Bandung difahamkan mahu membawa masuk pemain import itu.
Bojan Hodak yang ketika itu menyertai Persib melihat kualiti pemain kelahiran Brazil berkenaan dilihat cukup sesuai untuk meningkatkan pertahanan skuad Pangeran Biru bagi menjadi pencabar liga.
Perpindahan tersebut bagaimanapun tidak berjalan namun Persis Solo boleh menjadi pasukan Indonesia pertama merekrut khidmatnya menerusi pengaruh Kim Swee.
Untuk info, bukan sahaja menggalas tugas sebagai pertahanan kental, Peres juga memberi sumbangan dalam bentuk jaringan gol pemain kelahiran Brazil itu sudah merekodkan empat gol dan satu hantaran bantuan buat Sabah FC.
3) Dominic Tan
Dominic merupakan bek tengah utama Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Hubungan antara Dominic Tan dan Kim Swee tidak usah diceritakan lebih panjang lagi apabila jurulatih tersebut sudah mula mempercayai bakat bek tengah itu ketika mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Tunjuk ajar diterima bek kelahiran Johor itu menyaksikan kariernya kian berkembang memandangkan dia pernah berkelana ke Thailand untuk beraksi buat Police Tero FC menyertai skuad Sang Badak.
Pemain berusia 27 tahun merupakan watak utama buat Kim Swee sepanjang tiga tahun di Sabah FC dan tidak mengejutkan jika Dominic akan dipanggil oleh jurulatih itu ke kelab baharunya.
Dominic juga pasti tidak mempunyai masalah untuk beraksi di saingan liga luar negara apabila sebelum ini bek kebangsaan berkenaan pernah bermain bersama Police Tero FC pada musim 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram