'Desakan Hamidin berundur patutnya tak ada, bola sepak Malaysia bergerak ikut sasaran'


  • Podium
  • Selasa, 26 Nov 2024

Tiada keperluan untuk mendesak pengunduran Hamidin daripada FAM.

NAMA Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin sering menjadi tumpuan penyokong.

Hal ini kerana, nama itu sering dijadikan sasaran apabila Harimau Malaya tidak berjaya menghasilkan keputusan terbaik di padang.

Ia hingga membuatkan pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa untuk mengatakan yang Hamidin mungkin sudah dipecat sekiranya bekerja di syarikat swasta.

BACA LAGI: Pakar label Hamidin makin kurang popular untuk kekal jadi Presiden FAM

BACA LAGI: 'Kalau dunia korporat, dah lama kena pecat', pakar bimbang Hamidin 'rosakkan' FAM jika terus kekal

385030864_1023545778718658_7081559461323263522_n

Hamidin (kanan) dianggap berjaya bawa kemajuan dalam bola sepak Malaysia.

"Pendapat saya, Hamidin tidak boleh kekal untuk penggal ketiga. Saya rasa dia akan merosakkan bola sepak tanah air. Maafkan saya tetapi dia akan terus menghalang. Jika ini berlaku di korporat biasa, sudah lama mereka dipecat," katanya.

Komen itu mendapat reaksi daripada pihak FAM apabila badan itu memberi respons terhadap kenyataan Sadek.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, sepatutnya desakan untuk Hamidin berundur tidak ada kerana bola sepak Malaysia masih bergerak mengikut arah yang disasarkan.

"Tiada keperluan mendesak bagi Presiden FAM melepaskan jawatannya. Arena bola sepak negara masih menunjukkan perkembangan positif di bawah pimpinan Tan Sri Hamidin.

"Peta Hala Tuju F:30 yang mula dilancarkan pada 31 Oktober 2018 merangkumi perancangan FAM sehingga tahun 2030 masih berada di landasan yang betul. Ranking pasukan kebangsaan naik sejak beliau (Hamidin) menerajui FAM - daripada kedudukan ke-178 dunia, kini di tangga ke-130," kata Noor Azman.

Noor Azman juga berkata yang bola sepak Malaysia menunjukkan peningkatan di bahagian lain terutamanya berkaitan pembangunan dan bola sepak wanita di bawah kepimpinan Hamidin.

Penganjuran Liga Wanita Nasional berjaya membuatkan bola sepak wanita Malaysia semakin mekar dan berdaya saing.

"Penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) telah berjaya mencungkil dan melahirkan bakat pemain-pemain yang berkualiti. Memasuki tahun ketiga, LWN 2024 semakin berkembang dengan lapan pasukan bertanding membabitkan 56 perlawanan sepanjang musim.

"FAM juga menganjurkan Liga Puteri dengan tujuan untuk melahirkan pemain-pemain pelapis di peringkat akar umbi. Skuad kebangsaan wanita juga mula menampakkan prestasi positif sejak pelantikan ketua jurulatih, Soleen Al Zou’bi pada 2022," ujarnya.

Noor Azman turut berkata yang FAM juga mendapat pengiktirafan bola sepak global menerusi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pada 2023, FAM telah menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Kejurulatihan Konvensyen AFC Pro Level yang mana FAM kini boleh menganjurkan dan menjalankan kursus kejurulatihan peringkat Pro Diploma.

"Pengiktirafan itu memainkan peranan penting dalam membantu FAM meningkatkan kualiti pendidikan kejurulatihan di seluruh Malaysia," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram